Demam Piala Dunia turut dirasai wanita

Demam Piala Dunia turut dirasai wanita

BOLA sepak bukan lagi sekadar sukan yang didominasi oleh lelaki, sebaliknya telah berkembang menjadi budaya yang menghubungkan masyarakat tanpa mengira jantina.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA suatu masa dahulu wanita sering dikaitkan sebagai penonton sampingan yang hanya menemani pasangan atau ahli keluarga, tanggapan itu kini semakin berubah. Hari ini, ramai di antara mereka mengikuti perkembangan Piala Dunia dengan penuh minat.

Mereka bukan sahaja mengenali pemain-pemain hebat, malah mampu membincangkan strategi permainan, prestasi pasukan, formasi yang digunakan serta membuat ramalan mengenai peluang sesebuah pasukan untuk mara ke peringkat seterusnya.

Ini bukan sekadar trend bermusim, sebaliknya mencerminkan perubahan budaya dalam masyarakat. Kemudahan menonton perlawanan secara langsung melalui pelbagai platform digital, liputan media serta perkembangan media sosial menjadikan bola sepak lebih dekat dengan semua lapisan masyarakat.

Tidak hairanlah jika semakin ramai wanita mengikuti perkembangan kejohanan ini, sama ada melalui siaran langsung, aplikasi mudah alih mahupun platform media sosial.

Antara faktor yang mendorong peningkatan minat mereka ialah liputan media yang semakin meluas, kemudahan penstriman digital dan pengaruh media sosial. Kini, maklumat mengenai bola sepak boleh diakses dengan mudah melalui telefon pintar.

Selain itu, budaya menonton perlawanan bersama keluarga dan rakan-rakan turut menjadikan Piala Dunia sebagai satu bentuk hiburan yang mengeratkan hubungan sosial. 

Kini semakin ramai di antara mereka tampil sebagai pengulas dan hos program sukan yang mampu memberikan ulasan profesional mengenai sesuatu perlawanan. Di media sosial pula, ramai daripada mereka menghasilkan kandungan berbentuk analisis taktikal, ramalan keputusan serta ulasan prestasi pemain di platform seperti TikTok, Instagram dan YouTube.

Kandungan mereka mendapat perhatian ramai, sekali gus membuktikan pengetahuan mereka tentang bola sepak bukan lagi sekadar di peringkat asas. Malah mereka sanggup membeli jersi rasmi, mafla, topi dan pelbagai cenderamata sebagai tanda sokongan terhadap pasukan kegemaran mereka. 

Di Malaysia, mereka bukan sahaja menjadi penyokong setia di stadium, di hadapan televisyen atau melalui telefon pintar, malah terlibat sebagai wartawan sukan, pengulas, pengadil, jurulatih, pengurus pasukan dan pencipta kandungan digital. Kehadiran mereka menjadikan ekosistem bola sepak negara lebih pelbagai, inklusif dan dinamik.

Ini menunjukkan bola sepak bukan lagi sekadar sukan yang didominasi oleh lelaki, sebaliknya telah berkembang menjadi budaya yang menghubungkan masyarakat tanpa mengira jantina. Bola sepak turut membawa nilai-nilai positif yang boleh dicontohi dalam kehidupan.

Semangat berpasukan, disiplin, ketabahan menghadapi kekalahan, menghormati lawan dan tidak mudah berputus asa merupakan antara nilai yang menjadikan sukan ini diminati ramai. Nilai-nilai ini tidak mengenal jantina dan boleh diterapkan dalam institusi keluarga, pendidikan, tempat kerja serta masyarakat.

Bola sepak tidak pernah memilih siapa yang layak mencintainya kerana semuanya berkongsi debaran yang sama apabila perlawanan berlangsung. Demam Piala Dunia telah membuktikan sukan mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Jadi, sudah tiba masanya kita meninggalkan tanggapan bola sepak hanya diminati oleh kaum lelaki.

Penyertaan dan minat kaum wanita bukan lagi sesuatu yang luar biasa, sebaliknya menjadi bukti dunia sukan semakin inklusif. Selagi semangat kesukanan terus subur, Piala Dunia akan kekal menjadi pentas yang menyatukan manusia melalui satu bahasa yang difahami di seluruh dunia, iaitu bahasa bola sepak. –UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. NORLAILA ABDULLAH CHIK

Pusat Pengajian Kerajaan

Universiti Utara Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN