DALAM situasi kekeluargaan, ibu bapa masih diletakkan pada posisi autoriti yang hampir tidak boleh dipersoalkan. Struktur ini secara tradisi berfungsi untuk memastikan disiplin dan kestabilan. Namun, dalam banyak keluarga, ibu bapa masih dianggap sebagai pihak yang sentiasa betul sehingga permohonan maaf kepada anak sering dilihat sebagai sesuatu yang sukar dilakukan.
Secara tradisi, kedudukan ibu bapa sebagai autoriti penting untuk memastikan disiplin dan kestabilan keluarga. Namun, apabila komunikasi berlaku secara terlalu sehala tanpa ruang untuk mengakui kesilapan, hubungan kekeluargaan boleh terjejas.
Dalam masyarakat hari ini, generasi muda semakin peka terhadap isu kesihatan mental, emosi dan hubungan interpersonal. Mereka bukan sahaja mahu didengari tetapi juga dihargai sebagai individu yang mempunyai perasaan dan pandangan tersendiri.
Dalam komunikasi keluarga, cara sesuatu mesej disampaikan amat penting. Nasihat yang diberikan dengan niat baik boleh ditafsirkan sebagai kritikan jika disampaikan tanpa sensitiviti emosi.
Apabila situasi ini berlaku berulang kali tanpa sebarang pengakuan atau permohonan maaf, anak-anak mungkin merasakan perasaan mereka tidak dihargai. Keadaan ini boleh menjejaskan keyakinan diri dan mewujudkan jurang dalam hubungan kekeluargaan.
Lebih membimbangkan, ada ibu bapa yang sukar menerima teguran atau mengakui kesilapan kerana beranggapan ia boleh menjejaskan kewibawaan mereka. Sikap sentiasa mahu dilihat betul serta kecenderungan mempertahankan diri dalam setiap konflik boleh mengehadkan ruang dialog yang sihat.
Akibatnya, masalah kecil berpotensi menjadi pertikaian yang berpanjangan kerana tiada pihak yang bersedia mengambil langkah pertama untuk memperbaiki keadaan.
Hakikatnya, ibu bapa yang mempunyai kesedaran kendiri dan kematangan emosi lebih mudah membina hubungan yang positif dengan anak-anak. Mereka memahami mengakui kesilapan tidak mengurangkan penghormatan, sebaliknya meningkatkan kepercayaan dan rasa hormat dalam keluarga.
Budaya komunikasi dalam keluarga juga memberi kesan kepada kehidupan anak-anak pada masa hadapan. Cara mereka belajar mengurus konflik, memahami emosi dan berinteraksi dengan orang lain banyak dipengaruhi oleh pengalaman di rumah. Justeru, keluarga yang mengamalkan komunikasi terbuka dan saling menghormati berpotensi melahirkan individu yang lebih yakin, empati dan bertanggungjawab.
Oleh itu, membudayakan permohonan maaf dalam keluarga perlu dilihat sebagai amalan yang mengukuhkan hubungan, bukannya melemahkan autoriti. Kata maaf yang ikhlas mampu meredakan ketegangan, memulihkan kepercayaan dan menjadi teladan terbaik kepada anak-anak tentang cara mengurus kesilapan dengan matang.
Pada akhirnya, keluarga yang sihat bukanlah keluarga yang bebas daripada kesilapan tetapi keluarga yang berani mengakuinya dan berusaha memperbaikinya bersama-sama. –UTUSAN
AMY ADRIANA ABDUL MUHAIMIN & NURUL NISHA MOHD. SHAH
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau










