MALAYSIA ialah sebuah negara maritim yang memiliki lebih 4,600 kilometer garis pantai serta kedudukan strategik di laluan perdagangan dunia.
Dengan kekayaan biodiversiti laut yang tinggi, negara ini berpotensi besar untuk muncul sebagai peneraju ekonomi berasaskan lautan di rantau ini.
Dalam konteks ini, konsep ekonomi biru semakin mendapat perhatian sebagai pendekatan pembangunan baharu yang menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam marin.
Ekonomi biru merujuk penggunaan sumber laut secara lestari bagi menjana ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat tanpa merosakkan ekosistem laut. Ia menuntut keseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan, agar lautan terus menjadi sumber kehidupan generasi akan datang.
Laut bukan lagi sekadar sumber perikanan tradisional, sebaliknya kini menjadi platform strategik bagi pelbagai sektor seperti akuakultur moden, logistik maritim, tenaga boleh diperbaharui, bioteknologi marin, pelancongan serta penyelidikan saintifik. Potensi ini menjadikan laut sebagai antara pemacu utama ekonomi masa depan negara.
Malaysia mula melaksanakan agenda ini melalui pelbagai dasar seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Dasar Lautan Negara dan Ekonomi Madani. Usaha ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk mengurus sumber laut secara lebih tersusun dan mampan. Antara fokus utama termasuk memperkukuh sekuriti makanan melalui akuakultur lestari, memperkasa industri maritim serta memelihara biodiversiti laut.
Namun, kejayaan ekonomi biru tidak boleh digalas kerajaan semata-mata. Ia memerlukan kerjasama institusi pendidikan, penyelidik, industri dan komuniti. Dalam hal ini, institusi seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memainkan peranan penting sebagai peneraju sains marin negara.
Penubuhan Pusat Pemerkasaan Ekonomi Biru (BEACON) oleh UMT menjadi bukti komitmen institusi ini dalam memperkukuh agenda ekonomi biru melalui penyelidikan, latihan dan kerjasama industri. Selain itu, institut seperti Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS).
Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) dan Institut Adaptasi Iklim dan Marin Bioteknologi (ICAMB) giat menjalankan kajian berkaitan perubahan iklim, akuakultur lestari serta biodiversiti marin.
UMT juga aktif dalam pemindahan ilmu kepada komuniti pesisir melalui program keusahawanan, teknologi akuaponik dan konservasi marin, sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
Penglibatan dalam jaringan antarabangsa seperti Kerjasama Akaun Lautan Global turut memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat global.
Hakikatnya, ekonomi biru bukan sekadar agenda ekonomi tetapi juga agenda kelangsungan masa hadapan negara.
Pengurusan laut yang tidak lestari boleh mengancam keselamatan makanan dan ekosistem. Justeru, prinsip mengambil secukupnya dan memulihara sebaiknya perlu menjadi asas utama pembangunan marin negara.
Malaysia memiliki segala kelebihan untuk menjadi kuasa ekonomi biru serantau, dengan lautan sebagai sumber masa hadapan yang tidak ternilai. –UTUSAN
AMIRUL SALAM HASAN
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu










