PENGUMUMAN kumpulan popular dari Korea Selatan, BTS ke Malaysia pada Disember ini bersempena dengan jelajah promosi kelahiran album terbaharu, Arirang memberi khabar gembira buat peminat tempatan selepas kali terakhir kumpulan tersebut menjejakkan kaki ke sini pada 2015.
Walau bagaimanapun, disebabkan oleh permintaan yang tinggi terhadap tiket konsert, pembelian kali ini bukan sahaja melibatkan persaingan sesama peminat setia, malah turut dipengaruhi oleh kegiatan penipu tiket dan pencatut tiket yang mengambil kesempatan.
Melalui pemerhatian di laman sosial sepanjang tiga hari pembelian tiket berlangsung, penipu tiket menawarkan servis pembelian tiket berbayar kepada peminat, di mana setiap khidmat mereka perlu dibayar dengan nilai serendah RM50 sehingga RM200, atau lebih tinggi.
Malah ada juga syarat awal ditetapkan bagi setiap pembelian yang tidak berjaya, wang perkhidmatan akan dipulangkan separuh atau tidak dipulangkan langsung. Penipuan berlaku apabila penipu tiket ini menghilangkan jejak sebaik sahaja wang diterima.
Pencatut tiket turut berleluasa apabila mereka menjual semula tiket dengan harga yang lebih mahal berkali ganda sehingga tidak masuk akal.
Sudah tiba masanya langkah yang lebih serius diambil bagi mengelakkan para peminat terus menanggung kerugian bukan sahaja wang, tetapi juga masa dan tenaga fizikal serta mental.
Antara langkah yang boleh diambil adalah semasa waktu prajualan tiket kepada ahli, kemasukan kod ahli dimasukkan seawal bilik menunggu, bukan selepas tamat beratur. Ini bagi memastikan hanya yang benar-benar ahli ditapis dan dibenarkan untuk menunggu giliran pembelian tiket.
Penggunaan sistem tiket berasaskan identiti pemilik, had pembelian yang lebih ketat serta teknologi anti-bot juga perlu dipertimbangkan bagi mengurangkan ruang manipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Langkah ini juga dapat mengelakkan kesesakan dalam talian yang membawa kepada waktu menunggu yang lama.
Selagi isu ini tidak ditangani secara serius oleh penganjur, penyedia platform dan juga pihak berkuasa, peminat akan terus menjadi pihak yang menanggung kerugian. –UTUSAN
DR. SITI AISHAH MOHAMMAD RAZI
Jabatan Komunikasi
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia (UPM)










