HARI Kayu Sedunia diraikan setiap 21 Mac bagi meningkatkan kesedaran global tentang kepentingan kayu sebagai sumber semula jadi yang lestari.
Sambutan ini diperkenalkan pada 2013 oleh International Wood Culture Society, iaitu sebuah organisasi antarabangsa yang mempromosikan budaya kayu, pemeliharaan warisan tradisional serta penggunaan sumber kayu secara bertanggungjawab.
Tarikh 21 Mac dipilih bersempena dengan Hari Hutan Antarabangsa bagi menegaskan hubungan erat antara hutan dan kehidupan manusia.
Sejak diperkenalkan, sambutan ini berkembang sebagai platform global yang menghimpunkan pakar, penyelidik, artisan dan komuniti dari pelbagai negara untuk berkongsi ilmu serta amalan terbaik berkaitan penggunaan kayu secara lestari.
Dalam sektor perkayuan, kayu lestari merujuk kepada sumber kayu yang diperoleh secara sah, diurus dengan baik, mempunyai rantaian bekalan yang boleh dijejaki serta diproses dengan mengambil kira kesan terhadap alam sekitar.
Industri ini tidak lagi menilai kejayaan berdasarkan kuantiti semata-mata tetapi turut menekankan aspek pensijilan, kecekapan sumber, pengurangan sisa dan pematuhan terhadap piawaian pasaran hijau global.
Industri perkayuan Malaysia kekal sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara. Pada 2024, sektor ini mencatat nilai eksport sebanyak RM22.92 bilion, meningkat berbanding tahun sebelumnya dan terus menjadi penyumbang utama dalam sektor agri-komoditi selepas minyak sawit dan getah.
Produk kayu Malaysia turut dieksport ke lebih 160 negara, sekali gus membuktikan daya saingnya di peringkat antarabangsa.
Namun, masa depan industri ini tidak boleh bergantung kepada model tradisional ambil, guna dan buang.
Sektor perkayuan perlu beralih kepada ekonomi kitaran dengan memaksimumkan penggunaan kayu melalui reka bentuk produk tahan lama, penggunaan semula, pembaikan, kitar semula dan pemulihan tenaga.
Pendekatan ini membolehkan nilai kayu dikekalkan sepanjang rantaian hayatnya.
Malaysia mempunyai kelebihan besar dalam agenda kayu lestari kerana masih mengekalkan kawasan hutan yang luas.
Kira-kira 54 peratus daripada keluasan tanah negara masih diliputi hutan, termasuk Hutan Simpan Kekal yang diurus secara mampan. Keadaan ini menjadi asas penting kepada kelestarian industri perkayuan negara.
Pensijilan hutan seperti Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) memainkan peranan penting dalam memastikan kayu Malaysia diterima di pasaran global. Skim ini mengesahkan pengurusan hutan yang mampan serta rantaian bekalan yang telus, sekali gus meningkatkan keyakinan pembeli antarabangsa.
Dalam sektor hiliran, industri perabot kayu turut menunjukkan prestasi kukuh dengan nilai eksport mencecah hampir RM10 bilion pada 2024. Ini membuktikan produk kayu kekal relevan dan berdaya saing dalam pasaran global.
Penggunaan kayu getah sebagai bahan utama perabot juga menunjukkan kejayaan pendekatan ekonomi kitaran yang telah lama diamalkan di Malaysia.
Dari sudut sisa industri, sektor perkayuan menghasilkan berjuta-juta meter padu sisa kayu setiap tahun. Sisa ini boleh dimanfaatkan semula sebagai papan partikel, bahan binaan hijau, biojisim dan sumber tenaga boleh diperbaharui.
Namun begitu, masih terdapat ruang besar untuk memperkukuh pengurusan sisa melalui amalan 3R, iaitu mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula.
Pendekatan ekonomi kitaran perlu terus diperkukuh bagi memastikan industri perkayuan berkembang secara mampan.
Dengan pengurusan sumber yang bijak, Malaysia mampu menjadi peneraju industri kayu lestari yang menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi dan kelestarian alam sekitar global. – UTUSAN
DR. AIMI FADZIRUL KAMARUBAHRIN
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar,
Universiti Putra Malaysia (UPM)










