Kepelbagaian budaya perlu dirai dengan lebih meluas

Kepelbagaian budaya perlu dirai dengan lebih meluas

USAHA ini penting bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap adat, budaya dan kepercayaan yang berbeza, sekali gus mengurangkan prasangka serta stereotaip sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPELBAGAIAN budaya di negara ini bukan sekadar wujud secara simbolik, malah menjadi sebahagian daripada identiti nasional yang diwarisi sejak sekian lama.

Budaya masyarakat Melayu, Cina, India serta etnik-etnik lain bukan sahaja hidup bersama, tetapi saling melengkapi dan membentuk keunikan Malaysia yang dihormati di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, Hari Kepelbagaian Budaya Sedunia untuk Dialog dan Pembangunan yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) setiap 21 Mei sewajarnya diraikan dengan lebih meluas di Malaysia menerusi program pendidikan, dialog antara budaya, festival kesenian dan aktiviti komuniti yang mampu memperkukuh hubungan antara kaum.

Usaha ini penting bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap adat, budaya dan kepercayaan yang berbeza, sekali gus mengurangkan prasangka serta stereotaip sosial.

Dalam era globalisasi yang semakin mencabar, kepelbagaian budaya tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman, sebaliknya sebagai kekuatan yang mampu memperkayakan identiti negara.

Namun begitu, pemeliharaan budaya tempatan perlu dilakukan secara berhemah agar nilai kesantunan, moral dan keharmonian masyarakat terus terpelihara selaras dengan norma agama serta budaya rakyat Malaysia.

Malaysia sebenarnya tidak ketandusan identiti budaya untuk diketengahkan kepada dunia. Negara ini memiliki khazanah warisan yang unik, kaya dengan seni, adat resam, bahasa dan tradisi yang mampu menjadi daya tarikan pelancongan serta sumber kebanggaan rakyat.

Oleh itu, usaha memartabatkan budaya tempatan perlu diperkasakan secara berterusan supaya warisan negara kekal relevan kepada generasi akan datang.

Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, pelbagai acara dan inisiatif yang mengetengahkan kepelbagaian budaya wajar dipergiat bagi memperkenalkan keunikan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.

Langkah ini bukan sahaja dapat memperkukuh identiti nasional, malah membantu mempromosikan imej Malaysia sebagai sebuah negara aman, harmoni dan kaya dengan warisan budaya.

Kepelbagaian budaya yang diasaskan atas rasa hormat, toleransi dan persefahaman adalah aset paling berharga negara.

Jika terus dipelihara dan diraikan dengan bijaksana, Malaysia mampu menjadi contoh terbaik kepada dunia tentang bagaimana masyarakat berbilang kaum dapat hidup dalam suasana aman dan saling menghormati. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. SITI SURIAWATI ISA
Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar
Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN