BEKERJA lebih lama tidak semestinya menjamin hasil yang lebih baik. Begitu juga, masa kerja yang singkat bukan bermakna produktiviti akan merosot.
Hakikatnya, nilai sebenar terletak pada cara mengurus masa.
Apabila seseorang memanfaatkan masa dengan fokus dan disiplin, maka tempoh kerja singkat mampu menghasilkan kualiti kerja yang tinggi.
Prinsip ini jelas dapat dilihat di Jerman, sebuah negara yang mempunyai antara waktu kerja terpendek di dunia tetapi tetap mengekalkan produktiviti yang tinggi.
Walaupun Malaysia berbeza dari segi budaya, persekitaran kerja dan struktur ekonomi, namun masih boleh mengambil iktibar daripada pendekatan Jerman.
Negara itu membuktikan kejayaan ekonomi bukan bergantung pada jumlah jam bekerja tetapi pada keberkesanan budaya kerja.
Industri automotif seperti Volkswagen, Mercedes dan BMW menjadi bukti bagaimana disiplin, kualiti dan kecekapan mampu mengangkat reputasi negara ke peringkat global.
Antara kekuatan utama pekerja di Jerman ialah mereka memanfaatkan waktu kerja sepenuhnya untuk melaksanakan tugas. Mereka mengelakkan gangguan seperti media sosial atau urusan peribadi ketika bekerja. Selain itu, mereka mengamalkan komunikasi yang jelas dan terus terang bagi menyelesaikan masalah dengan cepat serta berkesan. Pendekatan ini mempercepatkan proses kerja serta mengurangkan salah faham dalam organisasi.
Di samping itu, pekerja di Jerman benar-benar berehat selepas waktu kerja. Mereka tidak dibebani dengan tuntutan kerja berterusan, sekali gus membolehkan mereka kembali bekerja dengan lebih segar dan fokus.
Kemudahan cuti tahunan yang mencukupi juga membantu menjaga kesejahteraan fizikal dan mental pekerja, yang akhirnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti.
Kesimpulannya, kekuatan sebenar bukan terletak pada waktu bekerja lebih lama tetapi bekerja dengan lebih bijak.
Malaysia boleh menyesuaikan amalan terbaik ini dengan konteks tempatan bagi membina tenaga kerja yang lebih berdisiplin, seimbang dan produktif.
Dengan pendekatan ini, negara mampu meningkatkan daya saing tanpa mengorbankan kesejahteraan pekerja.-UTUSAN
PROFESOR DR. ZAFIR KHAN MOHAMED
Profesor Pengurusan Organisasi dan Pengurusan Sumber Manusia,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)










