SETELAH keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diperoleh maka bermula percaturan baharu untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Sudah menjadi lumrah menyambung pengajian pelajaran ke luar negara sering dianggap sebagai kemuncak kejayaan dan sebagai simbol kemegahan status.
Ketidaktentuan landskap antarabangsa menjadikan institusi pendidikan tempatan (IPT) sebagai pilihan yang jauh lebih selamat, praktikal dan tidak kurang hebatnya dari segi kualiti.
Keadaan ekonomi global pasca pandemik dan konflik antarabangsa yang berterusan seperti ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) dan Israel serta ketidaktentuan geopolitik antarabangsa menyumbang lonjakan inflasi dunia. Ketidaktentuan pertukaran mata wang menyebabkan perbelanjaan menyambung pelajaran ke luar negara meningkat dengan mendadak.
Anggaran kos perbelanjaan yuran dan kos sara hidup asas bagi program peringkat pra universiti di kolej awam/swasta di luar negara seperti di United Kingdom (UK), Jepun atau Singapura, memerlukan dana sekitar RM100,000 hingga RM150,000 sebelum ini untuk satu sesi pengajian namun dengan konflik dunia terkini kos tersebut dianggarkan meningkat kepada RM160,000 ke RM200,000.
Inilah realiti yang perlu dihadapi dan jika dibuat perbandingan sudah tentu institusi tempatan jauh lebih rendah yang mana hanya memerlukan sekitar RM5,000 ke RM 45,000 sahaja untuk sesi pengajian dan anggaran kos tersebut setakat ini masih kekal relevan semenjak 2021.
Jika kita imbau kembali pada 2021, trend pelajar memilih institusi tempatan melonjak naik akibat penutupan sempadan antarabangsa berpunca daripada pandemik Covid-19. Pada waktu itu, ia adalah satu ‘paksaan’ kerana berlakunya penutupan sempadan. Namun pada hari ini, walaupun sempadan dunia terbuka luas namun perbezaannya adalah pemilihan tersebut kini lebih bersandarkan perspektif beban kewangan serta kemampanan pengajian pelajar tanpa diganggu konflik serantau yang berlaku.
Hal ini juga turut disokong bantuan-bantuan kewangan yang lebih mudah diperoleh di dalam negara seperti yayasan pendidikan negeri, biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pelbagai lagi biasiswa yang boleh diperoleh dan ditawarkan khusus kepada pelajar warganegara Malaysia.
Kedudukan IPT tempatan dalam senarai QS World Ranking seperti Universiti Malaya yang kini berada dalam kedudukan ke-58 dunia dan pengiktirafan seperti ini membuktikan keupayaan Malaysia mempunyai kualiti pendidikan yang baik dan setanding dengan negara-negara lain.
Transisi pasca persekolahan juga antara faktor penting yang perlu diambil kira dalam menentukan pemilihan lokasi bagi menyambung pengajian fasa ini adalah merupakan fasa kritikal bagi remaja dan dalam dunia yang serba canggih serta perubahan pesat teknologi keperluan kesejahteraan emosi, serta daya kemandirian pelajar adalah penting demi menjamin dan membentuk masa depan yang cemerlang dan mapan.
Berjauhan beribu batu dari keluarga di kala tekanan akademik memuncak, ditambah pula kegusaran kejutan budaya dan pengaruh rakan sebaya boleh menjejaskan mental pelajar serta membawa kepada kecelaruan dalam pembentukan sahsiah serta pencapaian akademik pelajar.-UTUSAN
NUR FATEHAH RAUDHAH ARIFFIN
Universiti Malaya










