Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju melaksanakan sistem kerja fleksibel, dengan mengambil kira pengalaman negara ketika pandemik Covid-19 serta keperluan semasa yang semakin kompleks akibat konflik di Asia Barat.
Walaupun bekerja dari rumah (BDR) menawarkan pelbagai kelebihan dari sudut fleksibiliti dan penjimatan kos, namun pelaksanaannya tidak terlepas daripada cabaran. Kajian menunjukkan produktiviti pekerja boleh terjejas sekiranya pelaksanaan tidak diurus dengan baik, khususnya apabila tempoh penyelesaian tugas menjadi lebih panjang berbanding bekerja di pejabat.
Keberkesanan BDR dipengaruhi pelbagai faktor termasuk disiplin individu, tahap sokongan organisasi, suasana persekitaran rumah serta perbezaan tuntutan kerja antara satu jabatan dengan jabatan yang lain. Oleh itu, pendekatan yang bersifat menyeluruh amat diperlukan bagi memastikan keseimbangan antara fleksibiliti dan produktiviti.
Bagi menjamin keberkesanan BDR, beberapa strategi penting perlu dilaksanakan secara bersepadu. Pertama, kerajaan disaran memperkenalkan model kerja hibrid yang menggabungkan kerja dari rumah dan kehadiran di pejabat secara bergilir. Pendekatan ini bukan sahaja mengekalkan kesinambungan operasi, malah membolehkan interaksi bersemuka yang penting dalam penyelarasan tugas.
Sistem pemantauan berasaskan prestasi perlu diperkukuh dengan memberi penekanan terhadap hasil kerja berbanding kehadiran semata-mata. Penilaian melalui petunjuk prestasi utama (KPI) dapat memastikan setiap pekerja dinilai secara lebih adil dan berorientasikan output.
Perubahan ini memerlukan anjakan minda dalam kalangan ketua jabatan agar lebih percaya kepada keupayaan pekerja melaksanakan tanggungjawab tanpa pengawasan berterusan.
Selain itu, aspek infrastruktur digital dan keselamatan data turut menjadi keutamaan. Kerajaan perlu memastikan sistem komunikasi, capaian data serta keselamatan siber berada pada tahap yang tinggi bagi menyokong pelaksanaan kerja jarak jauh secara berkesan.
Dalam masa sama, latihan dan pembangunan kapasiti perlu diperkukuh agar penjawat awam dan pengurus dapat menyesuaikan diri dengan budaya kerja baharu yang lebih dinamik dan berasaskan teknologi.
Tidak kurang penting, keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi turut perlu diberi perhatian. Sokongan organisasi terhadap keperluan keluarga, kesihatan mental serta kesejahteraan pekerja akan memastikan mereka kekal produktif dalam jangka panjang.
Pendekatan yang lebih manusiawi ini juga mampu meningkatkan motivasi dan kesetiaan terhadap organisasi.
Dengan perancangan rapi, sistem pemantauan berasaskan prestasi, sokongan teknologi serta perhatian terhadap kesejahteraan pekerja, membolehkan BDR berpotensi menjadi pemangkin kepada perkhidmatan awam yang lebih cekap, fleksibel dan berdaya saing pada masa hadapan.-UTUSAN
DR. LUQMAN MAHMUD
Universiti Utara Malaysia (UUM)










