SETIAP kali Ramadan melabuhkan tirainya, hati seorang mukmin berdepan perasaan yang bercampur-baur. Dia berasa syukur kerana Allah SWT memanjangkan umur untuk bertemu bulan penuh keberkatan itu, namun dalam masa yang sama dia turut merasai kesedihan kerana perlu berpisah dengan suasana ibadah yang begitu menenangkan jiwa.
Ramadan hadir sebagai tetamu istimewa yang membawa rahmat, lalu pergi meninggalkan kenangan rohani yang sukar dilupakan.
Seorang muslim perlu melepaskan Ramadan dengan hati yang reda. Dia tidak sekadar menerima pemergiannya secara pasif, sebaliknya dia sedar Ramadan melaksanakan fungsi sebagai madrasah rohani yang mendidik jiwa.
Selepas itu, dia pula memikul tanggungjawab untuk meneruskan nilai kebaikan yang dipelajari sepanjang bulan tersebut. Segala amalan yang subur dalam Ramadan seharusnya terus hidup dalam 11 bulan yang lain.
Proses melepaskan Ramadan memerlukan persediaan fizikal, mental dan emosi. Tanda awal reda ialah apabila seseorang meningkatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana diberi peluang melalui Ramadan dengan penuh ibadah.
Dia menyedari tidak semua orang mendapat kesempatan yang sama. Ada yang sakit sepanjang bulan, ada yang diuji dengan kekangan dan ada yang meninggal dunia sebelum sempat bertemu Ramadan. Justeru, peluang berpuasa, membaca al-Quran, menunaikan tarawih dan bersedekah menjadi nikmat yang sangat besar.
Dalam masa sama, seorang mukmin tetap berasa bimbang terhadap penerimaan amalnya. Namun, dia tidak membiarkan kebimbangan itu melemahkan iman, sebaliknya mengubahnya menjadi harapan tulus kepada Allah SWT.
Dia terus berdoa agar segala ibadah diterima dengan sempurna. Sikap ini pernah ditunjukkan oleh para sahabat yang berdoa berbulan-bulan selepas Ramadan semata-mata untuk memastikan amalan mereka diterima Allah.
Apabila Syawal menjelma, umat Islam menyambut Aidilfitri sebagai tanda kemenangan. Islam mengajar keseimbangan dalam meraikan hari raya. Seorang muslim bergembira sebagai tanda syukur tetapi dia tidak melupakan nilai tarbiah yang membentuk dirinya. Dia tidak terlalu berduka sehingga menolak kegembiraan dan tidak pula terlalu leka sehingga melupakan pengajaran Ramadan.
Para sahabat Rasulullah SAW menunjukkan keseimbangan ini dengan jelas. Mereka bergembira pada hari raya, namun hati mereka tetap dipenuhi rasa takut dan harapan terhadap penerimaan amal. Mereka berpakaian indah, saling menziarahi dan mengucapkan tahniah tetapi dalam masa sama mereka tidak melampaui batas. Kegembiraan mereka hadir dalam bingkai syariat yang penuh kesederhanaan.
Tanda sebenar reda terhadap pemergian Ramadan ialah apabila seseorang berusaha mengekalkan amalan yang dilakukan. Ramadan bukan destinasi akhir tetapi medan latihan untuk membina disiplin sepanjang tahun.
Seorang mukmin yang benar-benar menghargai Ramadan akan merindui suasananya. Dia merindui masjid yang hidup, bacaan al-Quran yang bergema dan hati yang lebih mudah tersentuh dengan kebaikan. Kerinduan itu menjadi tanda bahawa hatinya telah merasai kemanisan iman yang sebenar.
Akhirnya, dia terus berdoa agar dipertemukan lagi dengan Ramadan pada masa hadapan. Dia sedar kehidupan tidak terjamin, maka setiap Ramadan menjadi peluang yang sangat berharga. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. HAMIDAH MAT
Dekan,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)










