APABILA suhu meningkat dan gelombang haba berlaku dengan lebih kerap menyebabkan isu keselamatan serta keselesaan murid di sekolah kembali menjadi perhatian utama.
Selama ini, ramai pihak menumpukan perhatian kepada pembangunan infrastruktur sekolah sebagai penyelesaian utama untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selesa. Namun begitu, dapatan penyelidikan penulis menunjukkan kemudahan fizikal semata-mata tidak lagi menjadi penentu mutlak kepada kesejahteraan murid di bilik darjah.
Sebaliknya, kajian ini menunjukkan faktor kesedaran individu atau literasi iklim memainkan peranan yang lebih signifikan dalam membantu murid menyesuaikan diri dengan cuaca panas melampau.
Walaupun sekolah menyediakan kemudahan moden, namun tahap kefahaman murid terhadap perubahan iklim tetap menjadi asas penting yang menentukan keupayaan mereka untuk kekal fokus semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Kajian ini menggunakan data meteorologi 2024 untuk memetakan sekolah yang berisiko tinggi terdedah kepada suhu ekstrem. Penulis turut mengukur suhu persekitaran, kualiti udara dan aliran angin di kawasan sekolah menggunakan instrumen teknikal.
Pada masa sama, penulis mengumpul maklum balas murid melalui soal selidik bagi memahami pengalaman sebenar mereka ketika berdepan cuaca panas di bilik darjah.
Dapatan kajian menunjukkan suhu tinggi bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan fizikal, malah mengganggu keupayaan murid untuk memberi tumpuan. Murid mudah mengalami keletihan, kelesuan dan gangguan fokus yang akhirnya menjejaskan keberkesanan proses pembelajaran. Keadaan ini menjadi lebih serius apabila perubahan iklim global menyebabkan gelombang haba berlaku dengan lebih kerap dan lebih ekstrem.
Kanak-kanak turut tergolong dalam kumpulan yang lebih terdedah kepada risiko kesihatan akibat perubahan suhu kerana sistem fisiologi mereka lebih sensitif. Mereka berisiko mengalami dehidrasi, kelesuan haba dan dalam keadaan tertentu boleh mengalami strok haba. Oleh itu, isu gelombang haba perlu difahami sebagai cabaran yang memberi kesan langsung kepada pendidikan dan kesejahteraan murid.
Kesedaran terhadap perubahan iklim perlu diangkat sebagai agenda utama dalam sistem pendidikan negara. Literasi iklim bukan sahaja memberi pengetahuan tentang fenomena cuaca, malah membantu murid memahami kesan perubahan persekitaran terhadap kehidupan harian mereka.
Apabila murid mempunyai kesedaran yang tinggi, mereka bertindak lebih peka terhadap keadaan sekeliling dan lebih bersedia menjaga kesihatan diri. Sebaliknya, tanpa kesedaran yang mencukupi, kemudahan fizikal yang baik sekalipun tidak mampu mengurangkan risiko gangguan tumpuan dan kelesuan kognitif ketika suhu meningkat.
Sehubungan itu, sekolah perlu mengintegrasikan elemen kesedaran iklim dalam proses pembelajaran. Murid bukan sahaja perlu menguasai ilmu akademik, malah perlu memahami realiti perubahan persekitaran yang berlaku di sekeliling mereka. Pendekatan ini menjadikan pembelajaran lebih relevan dengan kehidupan semasa.
Selain itu, program kesedaran di sekolah perlu dilaksanakan secara lebih interaktif dan praktikal. Kempen kesihatan yang menekankan kepentingan hidrasi, penerangan tentang simptom awal kelesuan haba serta langkah pencegahan boleh membantu murid bertindak lebih awal ketika cuaca panas.
Pendekatan ini membentuk tabiat sihat dan membantu murid mengurus aktiviti harian dengan lebih bijak.
Dalam masa sama, media sosial berperanan penting dalam menyebarkan maklumat berkaitan perubahan iklim bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda melalui kandungan yang kreatif, pantas dan mudah difahami.-UTUSAN
DR. CHEAH WAI YAN
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)










