PERPADUAN nasional menuntut komitmen berterusan, perancangan rapi serta kesediaan menyesuaikan pendekatan mengikut keperluan semasa.
Dalam masyarakat yang rencam dari segi ideologi, agama dan budaya, isu keharmonian tidak boleh dibiarkan berkembang secara pasif, sebaliknya perlu diurus secara aktif melalui pendekatan yang inklusif dan menyatukan.
Dialog terbuka serta perbincangan yang berpaksikan kepentingan rakyat dan masa hadapan negara wajar diberikan keutamaan. Teras perpaduan tidak terbina secara statik tetapi perlu dipupuk dan diperkukuh secara berterusan.
Justeru, segala usaha yang digerakkan hendaklah seiring dengan aspirasi negara untuk melahirkan masyarakat yang maju, aman, makmur, berintegriti dan bersatu padu.
Dalam konteks ini, usaha memugar kecintaan terhadap sejarah memainkan peranan penting dalam pembinaan jati diri.
Inisiatif seperti Arkib@Sekolah dan Arkib Komuniti yang dilaksanakan Arkib Negara Malaysia (ANM) melalui Kementerian Perpaduan Negara wajar diberi pengiktirafan.
Program ini bukan sahaja mendekatkan masyarakat dengan warisan negara, malah memupuk kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan dokumen sejarah melalui pendekatan pembelajaran interaktif.
Penerapan nilai sejarah perlu bermula sejak di bangku sekolah. Melalui Kemahiran Pemikiran Sejarah dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah, pelajar dapat diasah dengan keupayaan berfikir secara kritis dan analitis. Pendekatan ini membantu menjadikan sejarah lebih hidup dan relevan dalam kehidupan seharian, sekali gus menyemai semangat patriotisme merentas kurikulum pendidikan.
Selain itu, pendekatan turun padang oleh ANM membolehkan institusi pendidikan dan komuniti terlibat secara langsung dalam usaha pengumpulan dan pemeliharaan bahan sejarah. Setiap komuniti memiliki naratif dan warisan unik yang perlu dihimpunkan sebagai kekuatan peradaban negara. Pendekatan ‘sejarah dari bawah’ juga mampu merakam sisi sejarah yang kurang diketengahkan, khususnya berkaitan kepelbagaian etnik di Malaysia.
Pendigitalan sumber arkib turut membuka ruang lebih luas kepada masyarakat untuk mengakses dan menghayati sejarah negara. Kerjasama strategik antara institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ANM perlu diperkukuh bagi merancakkan penyelidikan serta perkongsian kepakaran.
Akhirnya, usaha memugar jati diri merupakan tanggungjawab bersama. Sejarah bukan sekadar catatan masa lalu tetapi cerminan maruah bangsa yang perlu dipelihara dengan teliti. Sesungguhnya, apabila sejarah dijunjung, maruah bangsa akan terus disanjung.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHAMED ALI HANIFFA
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










