PETUGAS Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terdiri daripada pengawas peperiksaan, ketua pengawas, penyelaras pusat peperiksaan, pegawai lembaga peperiksaan, sehinggalah kepada mereka yang terlibat dalam penggubalan soalan, percetakan, keselamatan dan pengedaran kertas peperiksaan.
Setiap satu daripada mereka memikul amanah besar yang tidak boleh dipandang ringan, kerana sebarang kecuaian boleh memberi implikasi besar kepada ribuan calon di seluruh negara.
Proses penyediaan soalan yang teliti, pengendalian bahan sulit memerlukan tahap keselamatan tinggi, serta latihan dan taklimat kepada petugas memerlukan komitmen masa dan tenaga yang bukan sedikit. Semua ini dilakukan demi memastikan peperiksaan berjalan dengan adil, telus dan berkualiti.
Apabila peperiksaan bermula, rutin harian petugas menjadi lebih mencabar. Ada yang perlu hadir seawal subuh untuk membuat persiapan, memastikan bilik peperiksaan berada dalam keadaan sempurna dan mematuhi garis panduan yang ketat.
Mereka juga perlu sentiasa peka dan tegas dalam mengawal disiplin calon, sambil menunjukkan empati dan sokongan moral kepada pelajar yang berdepan tekanan.
Tidak kurang juga petugas terpaksa meninggalkan keluarga buat sementara waktu, khususnya mereka yang ditempatkan di kawasan pedalaman atau luar bandar. Perjalanan jauh, kemudahan terhad serta cabaran logistik bukanlah alasan untuk mereka mengabaikan tanggungjawab.
Apa lebih mengagumkan, sebahagian besar daripada mereka menjalankan tugas ini di luar skop rutin pekerjaan hakiki, dengan ganjaran yang tidak seberapa jika dibandingkan dengan tanggungjawab yang digalas.
Justeru, sewajarnya penghargaan diberikan kepada semua petugas SPM 2025 yang telah dan akan terus berkhidmat dengan penuh integriti. Tanpa mereka, mustahil sebuah peperiksaan berskala besar seperti SPM dapat dilaksanakan dengan teratur dan diyakini oleh masyarakat.
Dalam kita meraikan kejayaan calon-calon SPM, jangan dilupakan mereka yang berada di belakang tabir. Pengorbanan mereka mungkin tidak disorot di pentas utama, namun sumbangan mereka adalah nadi kepada kelangsungan sistem pendidikan negara.
Mereka adalah wira senyap memastikan setiap lembaran jawapan dinilai dengan adil, setiap prosedur dipatuhi, dan setiap impian diberi peluang untuk menjadi kenyataan. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Kampus Puncak Alam










