Guna kebebasan digital dengan bertanggungjawab

Guna kebebasan digital dengan bertanggungjawab

CABARAN utama hari ini bukan hanya terletak pada penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga pada tahap literasi media dalam kalangan masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TULARNYA sebuah video yang memaparkan penghinaan terhadap kitab suci Islam baru-baru ini mengingatkan kita betapa rapuhnya ekosistem komunikasi digital apabila berdepan isu sensitiviti agama.

Isu yang melibatkan agama sememangnya mempunyai dimensi yang lebih mendalam kerana berkait rapat dengan identiti, maruah dan pegangan hidup seseorang.

Apabila simbol atau teks suci diperlakukan secara tidak wajar, reaksi yang tercetus bukan sahaja berbentuk kecaman, malah boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat yang berbilang kepercayaan.

Situasi ini menuntut kepekaan yang tinggi daripada semua pihak agar keharmonian yang dibina sekian lama tidak terjejas.

Terdapat juga kandungan lain yang mencerminkan kurangnya sensitiviti seperti tindakan memuat naik video makan secara terbuka pada siang hari di bulan Ramadan dengan nada yang provokatif.

Walaupun setiap individu mempunyai keadaan peribadi tersendiri, tindakan menayangkan perkara tersebut di ruang awam digital boleh menimbulkan salah faham dan perasaan kurang senang dalam kalangan masyarakat.

Fenomena ini menunjukkan batas antara ruang peribadi dan ruang awam semakin kabur dalam era media baharu.

Apa yang lebih membimbangkan ialah bagaimana kandungan sensitif ini terus diperluas melalui perkongsian semula oleh pengguna lain.

Walaupun ada yang berniat menegur atau mengecam, setiap ulang siar, tangkap layar dan komen beremosi sebenarnya menyumbang peningkatan keterlihatan kandungan tersebut. Tanpa disedari, tindakan ini mempercepatkan lagi penyebaran dan memperbesar impaknya dalam masyarakat.

Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, isu berkaitan kaum, agama dan institusi memerlukan pengendalian yang amat berhati-hati.

Ruang digital yang terbuka memberi peluang kepada pelbagai suara, namun tanpa tapisan dan pengesahan, ia juga membuka ruang kepada salah faham serta manipulasi maklumat.

Oleh itu, cabaran utama hari ini bukan hanya terletak pada penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga pada tahap literasi media dalam kalangan masyarakat.

Setiap individu perlu mempunyai keupayaan untuk menilai maklumat, memahami konteks dan mengawal emosi sebelum berkongsi sesuatu kandungan.

Sikap berhati-hati ini penting bagi memastikan kita tidak menjadi sebahagian daripada rantaian yang memperbesarkan konflik atau menjejaskan hubungan antara komuniti. Dalam dunia digital yang serba pantas, kebijaksanaan mengawal diri menjadi kunci kepada keharmonian bersama.

Akhirnya, kebebasan bersuara di media sosial perlu sentiasa disertai dengan rasa tanggungjawab dan empati. Keamanan dan perpaduan negara bukan sahaja bergantung kepada dasar dan undang-undang tetapi juga kepada sikap masyarakat dalam berinteraksi, sama ada di dunia nyata atau di alam maya.

Jika setiap individu mampu berkomunikasi dengan lebih berhemah dan menghormati sensitiviti orang lain, ruang digital dapat menjadi medium yang menyatukan, bukannya memecah-belahkan. – UTUSAN

DR. AFIQAH KAMARUL
& DR. NURUL NADIRAH ABU HASAN
Pensyarah Komunikasi Media Baharu,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN