RANCANGAN Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 bukan sekadar dokumen dasar tetapi peta hala tuju yang mengangkat pendidikan tinggi melangkaui sasaran teknokratik dan kedudukan ranking global semata-mata.
Pelan ini menekankan pembinaan insan beradab, kesejahteraan sosial serta tanggungjawab terhadap masa hadapan masyarakat.
Penegasan terhadap nilai kemanusiaan, kelestarian dan keseimbangan sosial menjadikan RPTM antara dasar pendidikan tinggi yang menonjolkan dimensi moral secara lebih jelas.
Namun, kekuatan idea sahaja tidak memadai. 2026 perlu menjadi titik permulaan pelaksanaan sebenar, bukan sekadar ruang wacana atau perbincangan konsep. Cabaran utama kini ialah bagaimana nilai kemanusiaan yang digariskan dapat diterjemahkan secara nyata dalam budaya kampus, sistem pentadbiran dan pengalaman harian warga universiti.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Zainal Abidin Sanusi pernah mengingatkan kemanusiaan tidak boleh dibiarkan menjadi retorik yang indah tetapi kosong.
Kejayaan RPTM tidak bergantung kepada kehebatan naratifnya, sebaliknya pada keupayaan institusi melaksanakannya secara konsisten, telus dan boleh dipertanggungjawabkan.
Antara halangan terbesar ialah tanggapan nilai seperti adab, empati, integriti dan kepekaan sosial sukar diukur.
Selama ini, pengurusan pendidikan tinggi banyak bergantung pada indikator kuantitatif seperti penerbitan akademik, jumlah geran penyelidikan, kebolehpasaran graduan dan kedudukan universiti di peringkat antarabangsa.
Apabila sesuatu nilai tidak mudah diterjemahkan kepada angka, sering dianggap sekunder. Justeru, universiti perlu berani membangunkan kaedah penilaian yang lebih matang bagi menilai pembangunan insaniah pelajar.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan Mata Pelajaran Umum (MPU) U1 hingga U4 bagi membentuk graduan holistik dan berintegriti. Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) turut diwajibkan bagi memupuk kesedaran etika dalam kehidupan dan dunia pekerjaan.
Namun persoalan yang perlu dijawab ialah sejauh mana nilai tersebut benar-benar dihayati dan bukan sekadar dipenuhi untuk memenuhi rubrik penilaian akademik.
Pendekatan pembelajaran berasaskan hasil (OBE) membantu universiti menilai pencapaian melalui hasil pembelajaran kursus, program dan objektif pendidikan. Walaupun pendekatan ini menyokong pembangunan kognitif, afektif dan psikomotor, ia juga boleh mendorong pematuhan sementara.
Pelajar mungkin menunjukkan disiplin ketika minggu penilaian tetapi cabaran sebenar ialah memastikan nilai tersebut kekal selepas tamat pengajian. Fenomena pelajar meniru dalam kursus integriti sendiri menjadi peringatan bahawa pencapaian formal tidak semestinya mencerminkan penghayatan sebenar.
Nilai kemanusiaan seharusnya dizahirkan melalui tindakan kecil yang konsisten. Sikap menjaga kebersihan, mengucapkan salam dengan ikhlas atau membantu individu memerlukan tanpa mengharapkan pujian mampu membentuk budaya kampus yang lebih berempati. Tindakan harian seperti ini akhirnya memperkukuh hubungan sosial dan integriti institusi.
Penilaian nilai kemanusiaan perlu menggabungkan pendekatan kuantitatif dan kualitatif. Soal selidik iklim kampus, misalnya, tidak sepatutnya hanya menilai kemudahan fizikal tetapi turut mengukur tahap saling menghormati, keterlibatan mahasiswa, keadilan organisasi dan keselamatan emosi. Data tersebut perlu dianalisis secara berterusan agar perubahan budaya dapat dikenal pasti secara jelas.
Refleksi membantu pelajar menilai pengalaman pembelajaran, penglibatan komuniti dan pengurusan konflik sosial secara jujur. Tujuannya bukan menghukum tetapi membina kesedaran kendiri dan tanggungjawab sosial.
Penglibatan masyarakat pula perlu menjadi ukuran keberhasilan pendidikan tinggi. Program khidmat komuniti, penyelidikan sosial dan pembelajaran berasaskan komuniti harus dinilai berdasarkan impak sebenar kepada masyarakat, bukan sekadar jumlah aktiviti.
Pendekatan seperti SULAM dan Khidmat Komuniti Siswa menunjukkan bagaimana pengalaman lapangan mampu membentuk graduan yang berjiwa masyarakat dan bertanggungjawab.
Pada masa sama, budaya kemanusiaan mesti bermula daripada kepimpinan institusi. Universiti tidak boleh menuntut empati daripada pelajar jika nilai tersebut tidak dicerminkan dalam keputusan pentadbiran dan hubungan kerja harian. Kepimpinan yang menjadi teladan mampu menutup jurang antara dasar dan realiti.
RPTM menetapkan arah yang tepat. Tahun ini ialah masa untuk bertindak berani dengan menjadikan kemanusiaan sebagai sistem.
Pendidikan tinggi Malaysia mempunyai peluang untuk kembali kepada terasnya iaitu membina insan beradab, berempati dan bertanggungjawab terhadap masyarakat serta masa depan negara. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. KHAIRUNESA ISA
Pensyarah,
Jabatan Sains Sosial,
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










