DALAM era transformasi digital dan kepimpinan berimpak tinggi, organisasi kerap menumpukan perhatian kepada inovasi dan prestasi. Namun, ancaman tersembunyi wujud di luar carta alir dan laporan tahunan: Kehadiran individu narsisistik.
Narsisisme bukan sekadar keyakinan diri atau keperluan pujian tetapi melibatkan keagungan diri yang melampau, keperluan dikagumi dan kekurangan empati, sebagaimana ditakrifkan oleh Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders.
Ramai individu narsisistik muncul sebagai penyelamat pada awalnya. Mereka terlihat karismatik, yakin dan petah berhujah.
Kajian menunjukkan mereka sering dinilai berkesan sebagai pemimpin pada fasa awal interaksi. Namun, apabila hubungan berpanjangan menyebabkan kecenderungan dominasi, manipulasi dan pengalihan kesalahan mula menjejaskan pasukan.
Ini memudaratkan kerana organisasi moden cenderung mengaitkan karisma dengan kompetensi, memberi laluan mudah kepada narsisisme untuk menembusi kuasa dan membuat keputusan berprofil tinggi demi imej diri, tanpa mengambil kira kesan jangka panjang.
Individu narsisistik sering menafsir kejayaan kolektif sebagai pencapaian peribadi, manakala kegagalan dipindahkan kepada pasukan. Budaya ini menjejaskan motivasi intrinsik, merosakkan rasa autonomi, kompetensi dan kebersamaan, sekali gus meningkatkan risiko tekanan, kepenatan melampau dan pengunduran.
Seperti barah yang merebak senyap, narsisisme boleh menghancurkan tisu organisasi dari dalam jika tidak ditangani.
Namun, organisasi boleh mengambil pendekatan sistemik untuk mengurangkan risiko ini. Pertama, integrasi penilaian psikometrik dalam proses pelantikan dan kenaikan pangkat membantu mengenal pasti ciri dominasi melampau dan kekurangan empati.
Kedua, memperkukuh tadbir urus dan semak imbang memastikan keputusan strategik tidak bergantung kepada seorang individu semata-mata dan ketelusan proses mengurangkan manipulasi.
Ketiga, pembangunan literasi emosi pemimpin melalui latihan kecerdasan emosi, maklum balas 360 darjah dan refleksi mendalam membantu mengimbangi persepsi diri dengan pengalaman orang lain.
Keempat, menyediakan saluran aduan dalaman selamat tanpa pembalasan memberi ruang pekerja melaporkan tingkah laku manipulatif.
Kelima, mentakrif semula kejayaan berdasarkan pencapaian kolektif, integriti proses dan kesejahteraan pasukan dapat membina budaya organisasi yang sihat.
Individu narsisistik bukan mitos. Mereka realiti yang boleh menghakis kepercayaan, motivasi dan kesihatan mental organisasi. Mengurusnya memerlukan keberanian intelektual dan moral.
Organisasi perlu menilai bukan hanya apa yang dicapai tetapi bagaimana ia dicapai. Karisma tidak boleh mengatasi karakter dan kuasa tidak boleh mengatasi nilai.
Dengan pendekatan holistik, organisasi dapat mengekalkan prestasi tinggi sambil membina persekitaran kerja yang produktif, bermaruah, dan manusiawi. – UTUSAN
NURUL NISHA MOHD. SHAH & MOHD. RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Sixtysix Action Academy











