Serangan ke atas Iran jejas keamanan dunia

Serangan ke atas Iran jejas keamanan dunia

iran
SERANGAN terhadap Iran bukan sahaja berisiko mencetuskan konflik berskala besar, bahkan membuka ruang kepada penderitaan rakyat awam yang tidak berdosa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HIMPUNAN Gerakan Islam Malaysia (Hikam) dengan tegas mengecam serangan ketenteraan yang dilancarkan ke atas Iran yang telah meningkatkan ketegangan geopolitik di Asia Barat dan mengancam kestabilan serantau.

Tindakan ini bukan sahaja berisiko mencetuskan konflik berskala besar, bahkan membuka ruang kepada penderitaan rakyat awam yang tidak berdosa.

Allah SWT berfirman: “Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka cenderunglah kepadanya (wahai Muhammad), dan bertawakallah kepada Allah.” (Surah al-Anfal: 61)

Ayat ini menegaskan  jalan damai hendaklah sentiasa diutamakan dalam menghadapi konflik. Sebarang tindakan ketenteraan yang menggugat rundingan dan usaha diplomatik adalah bertentangan dengan semangat keamanan yang dianjurkan oleh Islam.

Hikam menyeru agar satu gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat dilaksanakan bagi mengelakkan pertumpahan darah yang lebih parah. Sejarah membuktikan peperangan tidak pernah menjadi penyelesaian muktamad sebaliknya diplomasi yang berprinsip dan berasaskan keadilan adalah jalan terbaik untuk meredakan ketegangan.

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi penegak keadilan kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Sehubungan itu, masyarakat antarabangsa mesti bertindak secara adil, konsisten dan tanpa dwistandard dalam menangani krisis ini. Keadilan sejagat tidak boleh dipilih-pilih berdasarkan kepentingan politik atau blok kuasa tertentu.

Hikam turut menggesa semua pihak yang terlibat untuk kembali kepada meja rundingan dan mengutamakan penyelesaian secara damai. Keselamatan rakyat awam, termasuk warga Malaysia yang berada di rantau berkenaan, mesti menjadi keutamaan utama.

Kami juga menyeru umat Islam untuk terus bermunajat, memperkukuh solidariti serta menyampaikan mesej Islam sebagai agama rahmah kepada seluruh manusia. Dalam saat dunia diuji dengan ketegangan dan konflik, umat Islam mesti tampil sebagai suara keamanan, keadilan dan hikmah.

Hikam komited untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memperjuangkan keamanan sejagat yang berteraskan prinsip keadilan dan kemanusiaan.

Keamanan tidak lahir daripada peluru, tetapi daripada keadilan.  – UTUSAN

HIMPUNAN GERAKAN ISLAM MALAYSIA (HIKAM)

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN