Puasa daripada gangguan skrin

Puasa daripada gangguan skrin

RAMADAN ialah masa yang sesuai untuk detoks komunikasi kerana Ramadan sendiri mendidik disiplin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMADAN lazimnya dianggap bulan menahan lapar dan dahaga. Tetapi dalam kehidupan moden, ramai berdepan satu lagi bentuk “puasa” yang sukar: Puasa daripada gangguan skrin.

Notifikasi kerja, mesej keluarga, promosi bazar, video tazkirah, resipi dan siaran langsung jualan semuanya bersaing untuk perhatian pada waktu yang sama. Tanpa disedari, kita masuk Ramadan dengan niat mahu lebih fokus, tetapi keluar Ramadan dengan minda lebih letih.

Keletihan ini adalah keletihan digital. Ia berlaku apabila pendedahan berterusan kepada skrin, notifikasi dan aliran maklumat menyebabkan fokus mudah pecah, emosi cepat tepu dan keputusan harian jadi lebih impulsif.

Dalam bulan Ramadan, isu ini menjadi lebih ketara kerana jadual ibadah bertambah, rutin tidur berubah dan tuntutan sosial meningkat.

Ramadan ialah masa yang sesuai untuk detoks komunikasi kerana Ramadan sendiri mendidik disiplin. Ada waktu mula, ada waktu tamat, ada niat, ada muhasabah.

Pilih dua atau tiga slot masa yang konsisten setiap hari untuk bebas skrin, contohnya 20 minit selepas sahur, 30 hingga 45 minit sebelum berbuka dan 30 minit sebelum tidur.

Matikan notifikasi yang tidak kritikal. Kekalkan hanya yang benar-benar perlu seperti panggilan, keluarga terdekat, atau urusan kecemasan.

Kurangkan melihat kandungan yang hanya menambah gelisah, tambah yang membina ilmu dan ketenangan.

Hasilnya, fokus ibadah akan menjadi lebih stabil. Hubungan keluarga lebih hangat kerana ada “masa hadir” tanpa skrin. Emosi lebih terkawal kerana minda tidak dibanjiri rangsangan berterusan.

Malah, kita lebih berhati-hati sebelum berkongsi maklumat, kerana perhatian tidak lagi dibazirkan pada perkara remeh.

Yang penting, detoks ini tidak perlu ekstrem. Ia perlu realistik. Ramadan bukan untuk menambah rasa bersalah. Ramadan untuk membina kebiasaan baik yang boleh dibawa selepas Syawal.

Ramadan mengajar kita satu kemahiran penting. Memilih apa yang kita makan, memilih apa yang kita dengar, memilih apa yang kita lihat dan memilih cara kita berkomunikasi. Ramadan memberi peluang untuk menanganinya dengan cara yang paling bermakna.

Proses ini mengembalikan fokus, mengembalikan tenang dan mengembalikan adab komunikasi. – UTUSAN

DR. MASTURA MAHAMED
Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN