BULAN Ramadan membawa keberkatan serta semangat membersihkan rohani. Namun, bagi pelajar, perjalanan akademik tetap diteruskan, walaupun berdepan cabaran mengekalkan pembelajaran yang efektif ketika berpuasa.
Perubahan rutin harian, corak tidur dan tahap tenaga menuntut pelajar menyesuaikan jadual belajar agar produktiviti tidak terganggu.
Kajian terdahulu menunjukkan Ramadan memberi kesan positif dan cabaran kepada pelajar. Menurut jurnal BMC Public Health, 90.1 peratus pelajar melaporkan perubahan tahap tenaga tetapi ramai mendapati sesi belajar lebih fokus selepas sahur pada waktu pagi.
Dengan perancangan bijak, pelajar dapat mengekalkan prestasi akademik sambil memanfaatkan keberkatan bulan ini.
Selain aspek akademik, Ramadan mengajar nilai kesabaran, empati dan kemahiran sosial.
Aktiviti berbuka bersama keluarga atau komuniti bukan sekadar tradisi, malah membina hubungan sosial dan meningkatkan komunikasi.
Pelajar belajar menghargai masa, menghormati keperluan orang lain, serta menyeimbangkan tanggungjawab akademik dengan ibadah.
Untuk mengekalkan keberkesanan pembelajaran, pelajar disarankan menyusun jadual berdasarkan waktu produktif, contohnya selepas sahur atau sebelum berbuka, sambil memastikan rehat mencukupi.
Pemakanan seimbang ketika sahur dan berbuka membantu mengekalkan tenaga dan tumpuan. Teknik pembelajaran aktif seperti catatan ringkas, perbincangan kumpulan kecil dan latihan praktikal turut menyokong daya fokus.
Ramadan menawarkan peluang unik untuk menggabungkan ilmu dan iman. Dengan disiplin diri, perancangan yang teliti dan kesedaran terhadap keberkatan Ramadan membolehkan pelajar bukan sahaja mengekalkan prestasi akademik tetapi juga memupuk nilai kemanusiaan, kesabaran dan tanggungjawab sosial.
Kejayaan akademik dan pembangunan sahsiah dapat berjalan seiring, membentuk individu seimbang yang mampu mengurus kehidupan peribadi dan akademik dengan penuh kesedaran.
Ramadan bukan sekadar bulan ibadah tetapi juga peluang mendidik pelajar tentang pengurusan masa, kesihatan dan etika sosial. Ia membentuk insan yang lebih matang, berdisiplin dan peka terhadap komuniti, sambil membolehkan mereka meraih keberkatan bulan suci dalam setiap aspek kehidupan. –UTUSAN
DR. NOR NAZRINA MOHAMAD NAZRY
Pensyarah Kanan,
Jabatan Kurikulum & Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan,
Universiti Malaya










