SEGALA undang–undang yang mengawal penggunaan mercun bukan bertujuan menyekat kemeriahan sesebuah perayaan tetapi untuk mengelakkan kemalangan atau kemudaratan daripada berlaku.
Semua jenis mercun adalah bahan berbahaya yang boleh membahayakan diri kanak–kanak yang bermain dengannya serta terhadap orang sekeliling. Buat sekian lama, ramai golongan kanak–kanak menjadi mangsa permainan mercun sehingga ada yang kecederaan parah.
Turut menjadi mangsa adalah orang sekeliling yang terpaksa menahan bunyi bising dan letupan kuat daripada mercun.
Permainan mercun ini bukan sahaja mengancam tahap keselamatan semua pihak malah turut mengganggu ketenteraman awam. Isu mercun ini kerap kali muncul ketika menyambut kedatangan hari–hari perayaan.
Aktiviti bermain mercun seolah–olah menjadi acara wajib dilakukan khususnya oleh golongan kanak–kanak. Ini tidak seharusnya dibiarkan berlaku lagi dalam negara kita.
Sebelum sebarang perkara yang tidak diingini dan lebih buruk berlaku dalam negara, kanak–kanak harus sentiasa dipantau ketika mereka bermain dengan mercun. Ibu bapa dan penjaga memainkan peranan paling penting dalam membendung anak–anak daripada bermain dengan mercun yang bahaya serta dilarang.
Golongan kanak–kanak ini tidak memiliki pemikiran yang matang untuk membezakan antara yang baik dan buruk, oleh yang demikian, ibu bapa serta penjaga mereka perlu sentiasa memantau segala aktiviti yang dilakukan oleh golongan kanak–kanak.
Ibu bapa serta penjaga tidak boleh lepas tangan terhadap perkara ini ataupun mengambil sikap tidak peduli terhadap segala perkara yang dilakukan oleh anak–anak di bawah jagaan mereka. –UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










