SATU tragedi baru-baru ini di Sungai Ramal Baru, Kajang, Selangor, mengejutkan masyarakat apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia, manakala dua adik-beradiknya, berumur 9 dan 5 tahun, dirawat kritikal di unit rawatan rapi.
Mereka dipercayai diberi minum cecair metadon yang disalah anggap sebagai ubat batuk oleh ahli keluarga. Insiden ini bukan sekadar tragedi peribadi tetapi membuka mata tentang keselamatan ubat di rumah dan kepentingan pendidikan kesihatan awam.
Metadon ialah ubat sintetik yang digunakan dalam program rawatan penggantian opioid bagi membantu individu mengurangkan ketagihan. Ia menahan gejala penarikan dan mengurangkan keinginan terhadap opioid.
Namun, ubat ini berpotensi toksik jika diambil tanpa pemantauan atau dalam dos yang salah. Malah, sedikit sahaja melebihi dos terapeutik boleh menyebabkan kesan serius seperti tekanan pernafasan, koma, dan kematian, terutama pada kanak-kanak.
Beberapa faktor meningkatkan risiko insiden ini. Penyimpanan ubat yang tidak selamat, botol tidak berlabel, ubat diletakkan di tempat mudah dicapai kanak-kanak atau dipindahkan ke bekas lain, menyebabkan salah faham.
Kurangnya kesedaran dalam kalangan keluarga mengenai bahaya metadon menjadikan kanak-kanak lebih mudah tersilap minum. Cecair metadon yang menyerupai minuman atau ubat batuk memudahkan kekeliruan.
Dari perspektif kesihatan awam, kejadian ini menekankan perlunya pendidikan komuniti dan kempen kesedaran tentang penyimpanan ubat preskripsi berisiko tinggi. Masyarakat harus belajar mengenal pasti label ubat, menyimpan cecair dalam bekas asal berkunci serta mengenali tanda awal keracunan, termasuk mengantuk melampau, pernafasan perlahan atau perubahan warna bibir dan kulit.
Dalam program rawatan ketagihan, keselamatan di rumah harus menjadi sebahagian daripada protokol. Kaunseling pesakit dan keluarga serta penyediaan bekas berkunci boleh mengurangkan risiko tidak sengaja. Sokongan psikososial juga penting untuk memastikan pemulihan berlaku dengan selamat.
Kejadian ini mengingatkan kita ubat yang menyelamatkan nyawa boleh bertukar menjadi ancaman jika tidak dikendalikan dengan betul.
Kesihatan awam merangkumi rawatan, pencegahan, pendidikan dan perlindungan komuniti. Penyimpanan selamat, literasi ubat dan kesedaran keluarga adalah kunci memastikan rawatan tetap menjadi penyelamat, bukan bahaya. –UTUSAN
DR. MOHAMAD HALIM MOHAMAD SHARIFF
Pensyarah kanan,
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Bertam










