Media sosial bukan ruang untuk bersengketa

Media sosial bukan ruang untuk bersengketa

KEBEBASAN media sosial yang tidak disertai tanggungjawab hanya membuka ruang salah faham dan ketegangan dalam masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TULARNYA sebuah video memaparkan tindakan menghina kitab suci Islam baru-baru ini sekali lagi memperlihatkan betapa rapuhnya ekosistem komunikasi digital apabila berdepan isu sensitiviti agama.

Dalam tempoh singkat, rakaman tersebut tersebar luas di pelbagai platform media sosial dan mencetuskan gelombang kemarahan dalam kalangan masyarakat.

Sifat media sosial yang pantas, interaktif dan digerakkan oleh algoritma menjadikan sesuatu kandungan sensitif mudah mencapai jutaan tontonan dalam masa yang singkat.

Dalam konteks ini, ruang digital bukan sekadar tempat berkongsi maklumat tetapi medan pembentukan persepsi dan emosi kolektif.

Apabila simbol atau teks suci diperlakukan secara tidak wajar dan kemudian disebarkan secara terbuka menyebabkan reaksi yang tercetus bukan sahaja berbentuk kecaman, malah berpotensi berkembang dan mencetuskan ketegangan dalam masyarakat yang berbilang kepercayaan.

Selain insiden penghinaan terhadap kitab suci, masyarakat turut dikejutkan dengan beberapa kandungan lain yang mencerminkan kurangnya kepekaan terhadap sensitiviti agama.

Antaranya, kes individu memuat naik video makan secara terbuka pada siang hari dalam bulan Ramadan, disertai kapsyen seolah-olah berbangga tidak berpuasa.

Fenomena ini memperlihatkan batas antara ruang peribadi dan awam semakin kabur. Apa yang dahulunya dianggap hal peribadi kini mudah menjadi tontonan umum.

Apabila kandungan sedemikian dikongsi tanpa mempertimbangkan sensitiviti sosial, ia bukan sahaja mengundang kecaman, malah membuka ruang kepada perbalahan yang tidak perlu.

Setiap ulang siar, tangkap layar dan komen beremosi secara tidak langsung meningkatkan keterlihatan kandungan tersebut dalam sistem algoritma platform.

Walaupun ada yang berkongsi dengan niat menegur atau mengecam, namun tindakan itu tetap menyumbang kepada penularan bahan yang sama dan memperluas impaknya.

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, isu 3R (raja, kaum, agama) merupakan perkara sensitif serta berpotensi menggugat keharmonian negara.

Ruang digital yang terbuka memberi peluang kepada suara pelbagai pihak untuk menyatakan pandangan, namun pada masa sama membuka ruang kepada manipulasi naratif dan penyebaran maklumat tidak sahih.

Tanpa kawalan pengarang seperti media tradisional, kandungan yang tidak ditapis boleh tersebar sebelum sebarang pengesahan dilakukan.

Cabaran sebenar dalam era komunikasi digital bukan sekadar berkaitan dengan soal penguatkuasaan undang-undang tetapi tahap literasi media dalam kalangan masyarakat.

Keupayaan orang ramai untuk memahami, menilai dan menggunakan maklumat secara bertanggungjawab menjadi faktor penting dalam memastikan ruang digital tidak disalahgunakan hingga menjejaskan keharmonian sosial.

Struktur platform digital direka untuk memaksimumkan penglibatan pengguna. Kandungan yang mencetuskan kemarahan dan kontroversi lazimnya menerima lebih banyak reaksi, sekali gus dipaparkan kepada khalayak yang lebih luas.

Keadaan ini mewujudkan kitaran emosi mengatasi rasionaliti dan persepsi terbentuk sebelum fakta disahkan.

Keupayaan menilai sumber, memahami konteks dan menahan diri daripada berkongsi kandungan sensitif merupakan kemahiran penting dalam landskap digital masa kini.

Tanpa kesedaran tersebut, pengguna secara tidak sedar boleh menjadi sebahagian daripada rantaian penyebaran yang memperbesarkan isu serta memperdalam jurang persefahaman antara komuniti.

Keamanan negara dalam era digital tidak lagi hanya bergantung kepada kawalan fizikal atau sempadan geografi. Sebaliknya, kestabilan sosial kini turut dipengaruhi oleh dinamik komunikasi dalam talian.

Insiden-insiden yang menyentuh agama, sama ada berbentuk penghinaan terbuka atau sikap tidak peka terhadap suasana ibadah, menjadi peringatan kebebasan berkongsi di media sosial perlu disertai tanggungjawab sosial yang tinggi.

Jelas dalam landskap komunikasi yang semakin kompleks, keseimbangan di antara kebebasan bersuara dengan kepekaan terhadap budaya dan agama perlu sentiasa dipelihara.

Kebebasan yang tidak disertai tanggungjawab hanya akan membuka ruang kepada salah faham dan ketegangan dalam masyarakat.

Tanpa disiplin kendiri serta kesedaran kolektif dalam kalangan pengguna media, ruang digital berisiko berubah menjadi medan pertikaian yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian negara yang sekian lama dipupuk. – UTUSAN

DR. AFIQAH KAMARUL & DR. NURUL NADIRAH ABU HASAN
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN