Makanan warisan bukan sekadar tema

Makanan warisan bukan sekadar tema

MAKANAN warisan bukan sekadar soal rasa tetapi berkait rapat dengan sejarah, adat dan identiti bangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBUTAN bulan Ramadan setiap tahun lazimnya menjadi lebih meriah apabila tiba waktu berbuka puasa. Pelbagai hidangan disajikan, manakala restoran dan hotel berlumba-lumba menawarkan bufet dengan harga serta tema istimewa.

Meja yang panjang dengan aneka pilihan makanan menjadi tarikan utama pelanggan. Dalam suasana ini, makanan bukan sahaja memenuhi selera, malah menjadi ruang mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan.

Antara tema yang kerap digunakan ialah ‘Makanan Warisan’ dan ‘Hidangan Nusantara’, istilah yang dekat dengan jiwa masyarakat tempatan.

Nusantara secara umum merujuk gugusan pulau di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Filipina.

Di Malaysia, istilah ini membawa makna ruang budaya dan geografi yang luas serta berkongsi akar sejarah dan tradisi. Justeru, apabila sesuatu premis menggunakan tema sedemikian, pelanggan menjangkakan sajian yang benar-benar mencerminkan warisan tempatan.

Namun, timbul persoalan apabila sebahagian restoran yang mengangkat tema ini tidak menghidangkan makanan warisan sepenuhnya. Sebaliknya, terdapat campuran hidangan dari Asia Barat, Asia Selatan, Asia Timur dan Barat.

Dari sudut komersial, strategi ini mungkin bertujuan menarik lebih ramai pelanggan melalui kepelbagaian rasa sementara dari perspektif budaya, pendekatan ini menimbulkan kekeliruan.

Kekeliruan tersebut memberi kesan terhadap kefahaman generasi muda. Mereka mungkin beranggapan semua makanan yang dilabel sebagai ‘warisan’ ialah hidangan tradisi masyarakat Melayu atau Nusantara. Lama-kelamaan, batas antara makanan tradisi dan makanan luar menjadi kabur. Jika berterusan, identiti sebenar sesuatu hidangan boleh terhakis dan kehilangan konteks sejarahnya.

Makanan warisan bukan sekadar soal rasa tetapi berkait rapat dengan sejarah, adat dan identiti bangsa. Aspek ini turut diberi perhatian dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 yang menekankan pemuliharaan warisan ketara dan tidak ketara.

Penggunaan label warisan secara sewenang-wenangnya bukan sahaja mengelirukan pengguna, malah menjejaskan usaha pemuliharaan.

Oleh itu, pemantauan dan garis panduan yang jelas perlu diwujudkan agar istilah ‘makanan warisan’ digunakan dengan tepat.

Pengusaha juga harus bertanggungjawab memastikan tema selari dengan sajian. Kepelbagaian tidak salah tetapi pelabelan mesti jujur dan beretika.

Warisan bukan sekadar tema bermusim, sebaliknya amanah budaya untuk generasi akan datang. –UTUSAN

Dr. Aszlan Selamat Pensyarah Kanan,
Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP),
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN