SETIAP organisasi berdepan pelbagai isu dan cabaran yang tidak semuanya sesuai untuk dihebahkan kepada khalayak luar.
Realitinya, risiko sentiasa wujud kepada individu yang memilih untuk berkongsi perkara dalaman organisasi kepada pihak luar.
Sekiranya siasatan dijalankan, mereka mungkin berdepan tindakan disiplin, prestasi kerja terjejas atau situasi yang memalukan diri sendiri. Lebih membimbangkan, pendedahan maklumat yang belum disahkan atau sekadar khabar angin boleh mencalar reputasi serta merosakkan imej institusi yang dibina sekian lama.
Dalam jangka panjang, kesan tersebut bukan sahaja menjejaskan kepercayaan pemegang taruh, malah boleh memberi implikasi besar terhadap kelangsungan organisasi.
Keadaan ini juga berpotensi mewujudkan suasana kerja yang tidak sihat, menurunkan produktiviti dan menjejaskan keharmonian warga organisasi.
Oleh itu, menjaga maklumat dalaman tidak wajar dilihat sebagai usaha menutup kebenaran, sebaliknya sebagai tanggungjawab moral bagi melindungi kestabilan organisasi.
Cabaran ini menjadi semakin kompleks dengan kewujudan saluran komunikasi tidak formal yang sukar dikawal. Dalam kajian organisasi, fenomena ini sering dikaitkan dengan khabar angin, iaitu komunikasi tidak rasmi yang bergerak pantas dan digerakkan oleh warga organisasi sendiri tanpa saluran formal.
Khabar angin biasanya tersebar melalui hubungan interpersonal dan sukar dikesan puncanya. Ia boleh berlaku dalam bentuk rantaian gosip yang bermula daripada satu individu sebelum disebarkan kepada orang lain atau rantaian kelompok yang melibatkan beberapa sumber yang mempercepatkan penyebarannya.
Tanpa disedari, tindakan berkongsi cerita, khususnya kepada pihak luar, boleh diibaratkan seperti membuka pekung di dada.
Penularan khabar angin sering mencerminkan keadaan dalaman organisasi. Ia mungkin berpunca daripada rasa tidak puas hati, emosi atau persepsi warga terhadap kepimpinan dan persekitaran kerja. Jika ditangani secara berhemah, sebenarnya boleh menjadi maklum balas tidak langsung kepada pihak pengurusan untuk melakukan penambahbaikan.
Kematangan warga organisasi terserlah bukan pada kepantasan menyebarkan cerita tetapi kebijaksanaan mengawal komunikasi dan memilih saluran yang tepat.
Walaupun khabar angin sukar dihapuskan sepenuhnya, namun integriti individu serta komunikasi formal yang telus mampu membendungnya daripada menjadi ancaman kepada keharmonian dan kelangsungan organisasi. – UTUSAN
PROFESOR DR. ZAFIR KHAN MOHAMED MAKHBUL
Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB),
Universiti Kebangsaan Malaysia










