Ijazah Doktor Falsafah kini dinilai melalui produk

Ijazah Doktor Falsafah kini dinilai melalui produk

PENDEKATAN Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Berasaskan Produk.melahirkan doktor falsafah yang mampu menghasilkan teknologi dan sistem bermanfaat kepada negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IJAZAH Doktor Falsafah (PhD) sejak sekian lama dianggap sebagai kemuncak pencapaian akademik. Lazimnya, masyarakat membayangkan seorang calon PhD bergelut menyiapkan tesis tebal beratus-ratus halaman yang sarat dengan teori, metodologi dan dapatan kajian. 

Namun landskap pendidikan tinggi kini mula berubah apabila Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memperkenalkan pendekatan baharu yang dikenali sebagai PhD Berasaskan Produk. Pendekatan ini membuka ruang kepada calon untuk dinilai bukan sahaja melalui tesis tradisional tetapi juga melalui produk, inovasi atau sistem yang dihasilkan.

Pendekatan ini tidak bermaksud tesis diketepikan sepenuhnya. Sebaliknya, memperluas cara universiti menilai sumbangan ilmu. Jika sebelum ini penilaian tertumpu kepada penulisan akademik semata-mata, kini sumbangan kedoktoran boleh dizahirkan dalam bentuk teknologi baharu, sistem digital, paten, standard industri atau karya kreatif profesional. 

Walau bagaimanapun, setiap produk tersebut tetap perlu disokong dengan dokumentasi penyelidikan yang kukuh.

Calon masih perlu menjelaskan dengan terperinci masalah yang ingin diselesaikan, jurang ilmu yang dikenal pasti, metodologi pembangunan yang digunakan serta bukti keberkesanan inovasi tersebut. 

Mereka juga tetap perlu mempertahankan hasil kerja melalui sesi viva voce di hadapan panel pakar. Dengan kata lain, standard akademik masih kekal ketat, cuma bentuk sumbangan ilmiah menjadi lebih pelbagai.

Sebenarnya, pendekatan seperti ini sudah dilakukan di peringkat antarabangsa. Di China misalnya, beberapa universiti terkemuka telah lama memberi pengiktirafan kepada sumbangan praktikal dalam bidang strategik seperti kejuruteraan maju dan teknologi industri. 

Harbin Institute of Technology pernah menganugerahkan PhD kepada calon yang membangunkan teknologi peralatan kimpalan laser vakum bagi menyelesaikan masalah sebenar dalam industri.

Sementara itu, Tsinghua University mengambil pendekatan yang lebih radikal dengan menghapuskan keperluan wajib penerbitan jurnal bagi graduan PhD. Universiti tersebut menumpukan penilaian kepada impak penyelidikan terhadap bidang strategik negara, sekali gus cuba mengurangkan budaya ‘terbitkan atau gagal’ yang sering dikaitkan dengan lambakan artikel akademik berkualiti rendah.

Di United Kingdom (UK) pula, model PhD berasaskan penerbitan telah lama diamalkan. University of Essex membenarkan calon mengemukakan beberapa karya yang diterbitkan sebelum menyusunnya dalam satu analisis menyeluruh untuk dinilai dalam sesi viva

Pendekatan yang hampir sama turut digunakan oleh Aberystwyth University, yang membolehkan penyelidik berpengalaman menghimpunkan karya terdahulu sebagai sumbangan ilmiah setara tesis doktoral.

Pendekatan fleksibel ini juga dapat dilihat di Australia dan negara Scandinavia. Victoria University melaksanakan model Tesis Bersandarkan Penerbitan, manakala Deakin University membenarkan gabungan karya kreatif dengan laporan akademik, terutamanya dalam bidang seni dan reka bentuk. 

Di Norway pula, University of Bergen menjadikan tesis berasaskan artikel sebagai amalan biasa, namun tetap menilai keseluruhan karya sebagai satu penyelidikan yang menyeluruh.

Dalam bidang teknologi dan kecerdasan buatan, model PhD Berasaskan Produk boleh membawa impak yang besar. Sebagai contoh, seorang calon mungkin membangunkan sistem kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengesan tanda awal strok melalui analisis imej perubatan dengan ketepatan yang tinggi. 

Dalam contoh lain, seorang penyelidik mungkin menghasilkan model ramalan banjir masa nyata yang membantu agensi kerajaan membuat keputusan lebih pantas ketika bencana. Dalam kedua-dua kes ini, produk yang terhasil hanyalah manifestasi kepada penyelidikan mendalam yang dilakukan secara sistematik.

Namun begitu, pelaksanaan model ini memerlukan garis panduan yang jelas. Universiti perlu memastikan penilaian dilakukan secara telus bagi menentukan tahap keaslian sumbangan penyelidikan. 

Selain itu, isu hak cipta, pemilikan harta intelek serta pemisahan antara inovasi sebenar dan pembangunan rutin perlu diurus dengan berhati-hati.

Secara keseluruhannya, PhD berasaskan produk bukanlah usaha untuk mempermudah laluan kedoktoran. Sebaliknya, pendekatan ini memperluas definisi kecemerlangan akademik agar lebih selari dengan keperluan industri dan masyarakat. 

Dalam era ekonomi berasaskan inovasi, universiti bukan sekadar pusat menghasilkan teori, tetapi juga ruang untuk mencipta penyelesaian sebenar. Jika dilaksanakan dengan piawaian yang jelas oleh MQA, pendekatan ini berpotensi melahirkan doktor falsafah yang bukan sahaja cemerlang berhujah di atas kertas tetapi juga mampu menghasilkan teknologi dan sistem yang memberi manfaat langsung kepada negara. –UTUSAN

DR. MUHAMAD HARIZ MUHAMAD ADNAN

Pensyarah Kanan,

Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi,

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN