Hati-hati bila tuntut pelepasan cukai

Hati-hati bila tuntut pelepasan cukai

ANTARA kesilapan paling biasa ialah menuntut pelepasan cukai tanpa menyimpan resit atau dokumen sokongan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENURUT laporan tahunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), jutaan rakyat Malaysia mengemukakan borang cukai setiap tahun melalui sistem e-Filing.

Pada 2023, lebih 8.4 juta pembayar cukai individu menghantar borang nyata cukai pendapatan. Pada 2022, jumlahnya sekitar 8.2 juta, manakala pada 2021 pula kira-kira 7.9 juta pembayar cukai menggunakan sistem e-Filing.

Daripada jumlah tersebut, sebahagian besar pembayar cukai layak menerima pulangan lebihan cukai selepas mengambil kira pelepasan cukai seperti perbelanjaan pendidikan anak, peralatan gaya hidup, rawatan kesihatan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Secara keseluruhan, LHDN membayar berbilion ringgit pulangan cukai kepada rakyat setiap tahun, menjadikan musim e-Filing satu tempoh yang sangat dinanti-nantikan oleh pembayar cukai.

Namun, LHDN juga secara berkala menjalankan audit cukai bagi memastikan semua maklumat yang dilaporkan adalah tepat.

Kesilapan Biasa
Kebanyakan kesilapan berlaku bukan kerana niat menipu, tetapi kerana kecuaian.

Antara kesilapan paling biasa ialah menuntut pelepasan cukai tanpa menyimpan resit atau dokumen sokongan. Ramai yang menganggap selepas e-Filing dihantar, semua resit sudah tidak penting lagi.

Hakikatnya, di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai diwajibkan menyimpan dokumen sokongan seperti resit, invois dan bukti pembayaran selama tujuh tahun.

Jika LHDN menjalankan audit dan dokumen tersebut tidak dapat dikemukakan, tuntutan pelepasan cukai itu boleh dibatalkan.

Lebih membimbangkan, kegagalan melaporkan pendapatan dengan betul boleh membawa kepada denda antara RM1,000 hingga RM10,000 serta penalti sehingga 200 peratus daripada cukai yang terkurang lapor.

Dalam kes tertentu, kesalahan serius juga boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah peruntukan Akta Cukai Pendapatan.

Malaysia kini sedang beralih secara berperingkat kepada sistem e-Invois, yang bertujuan meningkatkan ketelusan transaksi dan memudahkan pemantauan cukai.

Namun dalam tempoh peralihan ini, banyak perniagaan masih mengeluarkan resit fizikal seperti biasa. Masalahnya, resit jenis ini mudah hilang atau pudar selepas beberapa bulan.

Cara paling mudah ialah dengan mengambil gambar resit dan menyimpannya dalam storan digital seperti Google Drive atau aplikasi telefon.

Langkah kecil ini mungkin nampak remeh, tetapi ia boleh menyelamatkan pembayar cukai daripada masalah besar sekiranya berlaku audit pada masa hadapan.

Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, termasuk kenaikan kos sara hidup dan harga tenaga dunia, pengurusan kewangan yang bijak menjadi semakin penting.

Membayar cukai adalah tanggungjawab setiap rakyat kepada negara. Melalui hasil cukai inilah kerajaan dapat menyediakan pelbagai kemudahan awam seperti hospital, sekolah, infrastruktur serta pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat.

Namun pada masa yang sama, menuntut pelepasan cukai yang sah adalah hak setiap pembayar cukai.

Kuncinya ialah kejujuran dan ketelitian.

Isi e-Filing dengan teliti, simpan semua resit, dan pastikan setiap tuntutan ada buktinya.

Kerana dalam hal cukai, sedikit kecuaian hari ini boleh membawa kos yang jauh lebih besar pada masa hadapan. – UTUSAN

DR. NORHALIZA ABU BAKAR & DR. ZURINA SAMSUDIN
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN