Gunakan media sosial untuk beramal, beribadah

Gunakan media sosial untuk beramal, beribadah

JIKA diurus dengan niat yang benar dan strategi yang bijaksana, media sosial mampu menjadi ladang pahala yang subur sepanjang bulan Ramadan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDIA sosial hari ini bukan sekadar ruang interaksi, bahkan telah menjadi medan dakwah, platform pendidikan dan wahana membina kesedaran ummah. Jika diurus dengan niat yang benar dan strategi yang bijaksana, ia mampu menjadi ladang pahala yang subur sepanjang bulan Ramadan.

Satu hantaran tazkirah ringkas, infografik hadis atau video pendek tadabbur ayat al-Quran mampu menjangkau ribuan bahkan jutaan pengguna dalam masa yang singkat.

Perkongsian kata-kata hikmah, doa harian dan peringatan waktu solat bukan sahaja memberi manfaat kepada orang lain, malah menjadi saham akhirat kepada penyebarnya.

Pensyarah, guru, agamawan dan para profesional boleh menghasilkan kandungan ilmiah seperti kupasan ayat, penjelasan hukum fiqh puasa, panduan zakat, serta refleksi akhlak sama ada dalam bentuk penulisan, video pendek, audio siar atau siaran langsung.

Kandungan yang sahih dan bersumberkan rujukan yang tepat membantu menangkis penyebaran maklumat palsu serta salah faham agama.

Kempen membaca al-Quran 30 juzuk, cabaran sedekah harian, atau inisiatif berkongsi juadah berbuka boleh digerakkan secara kolektif. Komuniti maya yang saling mengingatkan tentang kebaikan akan mewujudkan budaya amar makruf nahi mungkar dalam bentuk yang lebih segar dan relevan.

Bayangkan setiap perkongsian yang menggerakkan orang lain untuk bersedekah, beristighfar atau membaca al-Quran, pahala itu terus mengalir selagi ia diamalkan.

Elakkan perdebatan yang memecahbelahkan, penyebaran aib, serta kandungan yang melalaikan. Ramadan adalah bulan menundukkan hawa nafsu, termasuk untuk meraih perhatian dan populariti.

Gunakan media sosial untuk menyebar empati, memohon maaf secara terbuka dan mengeratkan silaturahim. Kata-kata yang baik juga adalah sedekah. Satu komen yang membina mungkin menyelamatkan hati seseorang yang sedang diuji.

Walaupun media sosial boleh menjadi ladang pahala, ia tidak boleh menggantikan ibadah asas seperti solat, tilawah dan qiamullail. Pengurusan masa yang bijak perlu diamalkan agar kita tidak terperangkap dalam aktiviti atas talian sehingga mengabaikan hubungan langsung dengan Allah. – UTUSAN

MOHD ZAIRUL MASRON
Ketua Media Sosial
Pejabat Komunikasi Strategik UiTM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN