SEJAK awal Ramadan lalu hantaran kempen Rafah Is Gone tular di media sosial. Poster kempen tersebut memaparkan kawasan yang kosong dipercayai selepas kemusnahan menyeluruh. Timbul persoalan sama ada wilayah berkenaan telah tiada atau dirampas sepenuhnya oleh rejim Zionis.
Rafah dibuka semula pada 2 Februari lalu susulan tekanan Amerika Syarikat (AS) selain desakan berbulan-bulan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), organisasi bantuan kemanusiaan dan rakyat Palestin. Pembukaan semula itu juga merupakan antara elemen penting dalam pelan gencatan senjata oleh Presiden AS, Donald Trump untuk Gaza yang sedang dilanda krisis kemanusiaan amat teruk.
Bagi puluhan ribu rakyat Palestin yang sakit dan cedera, pembukaan semula Rafah dilihat menawarkan peluang untuk mendapatkan rawatan perubatan di Mesir atau tempat lain. Namun demikian, pembukaan itu bersifat minimum dan tidak memenuhi keperluan sebenar penduduk Gaza yang memerlukan bantuan berskala besar serta konsisten.
Menurut Duta Palestin ke Malaysia, Jehad Fouad Mabrouk Alqedra, pada masa ini hanya dua hospital masih wujud. Hospital Al-Shifa di Gaza yang beroperasi pada kapasiti sangat terhad, kurang daripada separuh keupayaannya dan Hospital Nasr di Al-Khan Younis. Kedua-dua hospital ini tidak mampu menampung keperluan lebih 2.5 juta penduduk Gaza.
Laporan media antarabangsa dalam pada itu menyebut, kurang daripada 40 penduduk dibenarkan kembali ke wilayah yang musnah itu setiap hari, menjadikan proses kepulangan amat perlahan dan terbatas.
Mereka yang kembali dilaporkan terpaksa melalui perjalanan panjang dan penuh penghinaan, diiringi pemeriksaan keselamatan yang ketat dan intimidasi daripada pihak berkuasa.
Dalam pada itu, hujan bom dan serangan bertalu-lalu tentera Israel ke atas Gaza di tengah-tengah gencatan senjata yang sekadar wujud pada nama dan wayang untuk mengaburi mata komuniti antarabangsa terus meragut puluhan lagi nyawa penduduk Palestin. Jumlah korban perang genosid sejak lebih dua tahun lalu itu dilaporkan kini melepasi 71,000 orang.
Lebih menyedihkan, laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyebut kira-kira 15,000 kanak-kanak terkorban ketika konflik, manakala lebih daripada 34,000 cedera dan hampir satu juta kehilangan tempat tinggal.
Sementara itu, nasib penduduk Palestin yang sedang menunaikan ibadah puasa ketika ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Musim sejuk yang melanda ketika ini selain khemah-khemah yang ditenggelami banjir susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa minggu lalu memburukkan keadaan.
Namun cuaca buruk yang melanda tidak menghalang rejim Zionis memperhebat kempen pengeboman ke atas Gaza. nasib penduduk Palestin yang sedang menunaikan ibadah puasa ketika ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Kekejaman berterusan Israel di bumi Gaza yang dilakukan tanpa belas kasihan seharusnya meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai isu ini. Tanpa campur tangan komuniti antarabangsa dan PBB malapetaka kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza akan terus berlarutan. Hakikat bahawa PBB masih seperti dahulu, sekadar memberi amaran tanpa tindakan konkrit bukanlah perkara asing.
Rafah Is Gone tidak sekadar bertujuan menyedarkan masyarakat global agar terus memberi perhatian kepada akses kemanusiaan dan keselamatan penduduk awam tetapi juga merupakan simbolik mengembalikan ingatan dunia terhadap Gaza yang seakan dilupakan. –UTUSAN
MOHD SALLEH OSMAN
Banting, Selangor










