SETIAP kali tibanya Ramadan, suasana ekonomi tempatan berubah wajah. Dari bandar raya metropolitan sampailah ke pekan kecil di seluruh negara, baik di semannjung mahupun Sabah dan Sarawak, bazar Ramadan tumbuh sekali gus menjadi nadi pergerakan wang rakyat.
Ribuan gerai beroperasi dengan ratusan ribu pelanggan yang berkunjung dan jutaan ringgit beredar dalam tempoh hanya lebih kurang 30 hari.
Ramadan bukan sahaja bulan ibadah tetapi juga musim ekonomi yang rancak dan berintensiti tinggi.
Namun di sebalik kemeriahan itu, timbul persoalan yang jarang dibahaskan secara mendalam, siapakah sebenarnya yang paling untung dalam ekosistem ekonomi bazar Ramadan ini?
Ramai beranggapan peniaga bazar menikmati keuntungan besar sepanjang bulan puasa. Ada yang berkongsi kisah jualan mencecah ribuan ringgit sehari tetapi angka jualan kasar tidak semestinya menunjukkan keuntungan sebenar.
Kos bahan mentah yang meningkat, sewa tapak tinggi, bayaran pekerja sambilan dan risiko makanan tidak habis dijual semuanya mengurangkan margin keuntungan. Malah terdapat peniaga yang mengeluarkan modal besar atau ada yang membuat pinjaman jangka pendek untuk memulakan perniagaan bazar Ramadan. Jika jualan tidak mencapai sasaran, keuntungan yang diharapkan boleh bertukar menjadi beban kewangan selepas Ramadan.
Dalam rantaian ekonomi ini, pembekal bahan mentah seperti ayam, daging, santan dan sayur-sayuran menikmati peningkatan permintaan yang stabil.
Mereka beroperasi sepanjang tahun dan mendapat manfaat daripada lonjakan jualan tanpa perlu menanggung risiko makanan tidak terjual di peringkat pengguna.
Begitu juga penganjur dan pemilik tapak bazar yang lazimnya mengutip sewa lebih awal dalam jumlah tetap. Sama ada peniaga mencatat jualan tinggi atau rendah, bayaran tapak tetap diterima. Risiko pasaran lebih banyak dipikul oleh peniaga kecil.
Dari sudut pengguna pula, bazar Ramadan menawarkan kepelbagaian pilihan yang jarang ditemui pada bulan lain. Namun fenomena membeli ketika lapar sering mendorong perbelanjaan melebihi keperluan sebenar.
Apabila perut kosong, keinginan menjadi lebih dominan daripada pertimbangan rasional. Pelbagai juadah dibeli tetapi tidak semuanya dihabiskan. Sebahagiannya berakhir sebagai sisa makanan.
Dalam keadaan kos sara hidup yang sangat mencabar ini, pembelian tanpa perancangan boleh menjejaskan kewangan isi rumah dan menyumbang kepada pembaziran.
Ramadan mewujudkan bentuk ekonomi sementara yang pantas dan bermusim. Ia membuka peluang pekerjaan sambilan, menjana pendapatan tambahan dan menghidupkan suasana komuniti.
Namun, sejauh mana ekonomi bermusim ini mampu meningkatkan mobiliti sosial secara mampan? Adakah ia membantu peniaga kecil membina perniagaan jangka panjang atau sekadar memberi pendapatan sementara yang tidak berpanjangan?
Dalam semangat Ramadan yang menekankan kesederhanaan dan empati, perbincangan tentang keuntungan tidak seharusnya hanya terhenti pada angka.
Untung sebenar bukan sekadar jumlah jualan atau pulangan tunai tetapi pada keadilan dalam agihan manfaat, integriti dalam perniagaan dan kemampuan mengawal pembaziran.
Apabila kita bertanya siapa sebenarnya yang untung dalam ekonomi bazar Ramadan, jawapannya bukan semata-mata siapa paling banyak mengaut hasil tetapi siapa paling bijak mengurus risiko, menjaga amanah dan memahami keberkatan lebih bernilai daripada keuntungan bermusim.
Ramadan sepatutnya bukan sahaja menguntungkan poket tetapi juga memperkukuh nilai dan tanggungjawab dalam ekosistem ekonomi rakyat. -UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. NORLAILA ABDULLAH CHIK
Pusat Pengajian Kerajaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










