ISU penjualan makanan rapu (junk food) berhampiran sekolah semakin membimbangkan. Lebih membimbangkan, ada produk tanpa pensijilan halal, sumber tidak jelas, malah diimport tanpa kawalan ketat. Apabila kesihatan murid terjejas, persoalan timbul, siapa harus dipertanggungjawabkan?
Dalam lima tahun kebelakangan, kadar obesiti kanak-kanak meningkat dengan ketara. Malaysia kini antara negara dengan kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara. Pengambilan gula berlebihan, minuman bergas, serta snek ultra-proses tinggi lemak dan garam menjadi punca utama.
Ironinya, wujud juga fenomena bantut. Ada murid yang kelihatan gemuk tetapi kekurangan zat penting, yang menjejaskan perkembangan otak, tumpuan dan pencapaian akademik.
Pakar kesihatan menekankan bahan pewarna tiruan, pengawet dan gula berlebihan boleh memburukkan gejala hiperaktif, gangguan fokus dan masalah emosi dalam kanak-kanak yang sensitif.
Dalam konteks negara Islam, isu halal tidak boleh dipandang ringan. Pensijilan halal diurus Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tetapi produk tanpa status halal masih mudah diperoleh di sekitar sekolah, menjejaskan kepatuhan syariat dan amanah kepada umat Islam.
Dari segi penguatkuasaan, Kementerian Kesihatan (KKM) wajar memperketat undang-undang keselamatan makanan, sementara pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mempertimbangkan zon larangan penjualan makanan tidak sihat dalam radius tertentu dari sekolah.
Negara maju seperti Singapura menunjukkan garis panduan nutrisi sekolah yang tegas mampu menjaga kesihatan generasi muda.
Langkah konkrit diperlukan. Ibu bapa harus mengawal wang saku anak dan membudayakan bekal makanan sihat dari rumah, sambil menanam konsep halalan tayyiban sejak kecil.
Sekolah mesti memastikan kantin mematuhi garis panduan nutrisi dan halal, serta menghentikan penjualan makanan rapu di dalam pagar sekolah.
PBT perlu tegas dalam pemberian lesen penjaja berhampiran sekolah. KKM dan agensi berkaitan wajib memperketat pemantauan produk import dan jualan dalam talian yang menyasarkan kanak-kanak.
Isu ini bukan untuk menutup periuk nasi peniaga kecil tetapi kesihatan murid mesti diutamakan. Sekolah seharusnya menjadi tempat membina ilmu, akhlak, dan masa depan bangsa, bukan medan pemasaran makanan yang merosakkan fizikal dan mental anak-anak.
Semua pihak termasuk ibu bapa, guru, peniaga dan pihak berkuasa perlu berganding bahu memastikan persekitaran sekolah selamat, sihat serta berkat untuk generasi Malaysia yang akan datang. –UTUSAN
SYED MUHAMMAD IBRAHIM
Kampung Sejingkat,
Kuching, Sarawak










