PENERBITAN data Jabatan Perangkaan Malaysia melalui Kajian Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai kos sara hidup serta tahap kesejahteraan kewangan rakyat.
Jika diteliti lebih mendalam, angka-angka ini bukan sekadar menggambarkan inflasi tetapi turut memperlihatkan perubahan cara rakyat menguruskan perbelanjaan dalam kehidupan seharian.
Menurut laporan tersebut, purata perbelanjaan bulanan isi rumah meningkat kepada RM5,566 pada 2024, kenaikan sekitar 3.9 peratus berbanding 2022. Walaupun kenaikan harga barang memainkan peranan, namun peningkatan ini juga berkait rapat dengan perubahan gaya hidup, corak penggunaan dan persekitaran ekonomi yang semakin moden.
Dengan kata lain, beban kos sara hidup tidak boleh diukur hanya melalui inflasi semata-mata kerana tingkah laku pengguna juga berubah.
Perbelanjaan bagi perumahan, utiliti dan bahan api masih menjadi komponen terbesar, iaitu sekitar 23.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan isi rumah. Namun, satu perkembangan menarik ialah peningkatan ketara dalam perbelanjaan untuk restoran dan perkhidmatan penginapan yang kini mencecah 17 peratus. Ini menunjukkan semakin ramai rakyat memilih untuk makan di luar, menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan atau menikmati kemudahan gaya hidup berasaskan perkhidmatan.
Pada masa sama, sektor pengangkutan kekal penting dengan kadar sekitar 11 peratus, mencerminkan kebergantungan tinggi terhadap kenderaan persendirian serta kekangan pengangkutan awam di sesetengah kawasan.
Trend perbelanjaan ini turut dipengaruhi oleh mobiliti sosial yang semakin aktif selepas pandemik. Semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk melancong, termasuk ke negara jiran seperti Thailand.
Fenomena ini menggambarkan sebahagian isi rumah kini lebih memberi keutamaan kepada pengalaman dan kemudahan hidup.
Namun begitu, di sebalik perkembangan ini, timbul juga persoalan tentang daya tahan kewangan jangka panjang, terutamanya jika peningkatan perbelanjaan tidak seiring dengan pertumbuhan pendapatan.
Data Bank Negara menunjukkan harga makanan meningkat lebih pantas berbanding pertumbuhan gaji sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Keadaan ini memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, khususnya keluarga yang mempunyai anak serta mereka yang tinggal di kawasan bandar.
Bagi mereka, peningkatan perbelanjaan bukan semestinya mencerminkan taraf hidup yang lebih baik, sebaliknya sering menjadi usaha untuk mengekalkan kehidupan asas yang semakin mahal.
Perbezaan kos hidup antara kawasan juga semakin ketara. Penduduk di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan negeri Selangor mencatatkan komitmen perbelanjaan yang jauh lebih tinggi berbanding kawasan lain.
Kos perumahan, penjagaan anak, pengangkutan dan perkhidmatan harian yang lebih mahal menjadikan komuniti bandar lebih terdedah kepada kejutan ekonomi seperti kenaikan kadar faedah atau ketidaktentuan pasaran kerja.
Dalam masa yang sama, kemudahan kredit dan pembelian digital turut mempengaruhi tabiat perbelanjaan.
Skim ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ serta pinjaman peribadi dalam talian menjadikan urusan membeli barangan lebih mudah, namun berpotensi meningkatkan risiko hutang isi rumah jika tidak diurus dengan berhemah. Oleh itu, peningkatan perbelanjaan tanpa peningkatan pendapatan yang sepadan boleh menjerumuskan sebahagian keluarga kepada tekanan kewangan dalam jangka panjang.
Dari sudut dasar, usaha menangani kos sara hidup perlu melangkaui bantuan kewangan jangka pendek atau kawalan harga semata-mata. Peningkatan produktiviti, pembangunan kemahiran serta peluang kerjaya yang lebih baik adalah antara langkah penting untuk memastikan pendapatan rakyat berkembang secara mampan. Pada masa yang sama, sokongan bersasar dalam sektor penting seperti perumahan mampu milik, keselamatan makanan, penjagaan anak dan pengangkutan awam perlu diperkukuhkan.
Di samping itu, literasi kewangan juga memainkan peranan besar. Apabila rakyat lebih memahami cara mengurus perbelanjaan, simpanan dan hutang, mereka mampu membuat keputusan kewangan yang lebih bijak.
Akses kepada data terbuka seperti inisiatif OpenDOSM pula membantu masyarakat dan pembuat dasar memahami perubahan ekonomi dengan lebih jelas.
Dalam konteks ini, peningkatan perbelanjaan tidak semestinya tanda kemerosotan ekonomi. Dalam banyak keadaan, ia juga mencerminkan pilihan gaya hidup yang semakin pelbagai. Namun, keseimbangan antara keinginan menikmati kehidupan yang lebih selesa dan kemampuan kewangan perlu sentiasa dipelihara agar peningkatan perbelanjaan benar-benar membawa kepada kesejahteraan, bukan tekanan kewangan yang berpanjangan. –UTUSAN
DR. HASROLEFFENDY HASSAN
Pensyarah Kanan (Kewangan),
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kedah










