MEMBACA komen di media sosial kadangkala mengundang rasa gerun. Terlalu banyak ungkapan kebencian, sindiran dan kata-kata yang melukakan apabila sesuatu isu dibincangkan.
Sama ada berkaitan lawatan pemimpin asing atau isu melibatkan Petronas di Sarawak, perbincangan yang sepatutnya matang sering bertukar menjadi medan pertelingkahan. Inilah akibatnya apabila jari lebih pantas menaip daripada fikiran menimbang kesan.
Lebih membimbangkan apabila isu kaum, negeri dan wilayah seperti Sabah dan Sarawak dijadikan bahan provokasi. Tanpa empati, ada yang melontarkan kata-kata menyentuh sensitiviti 3R sehingga mencetuskan kemarahan dan perpecahan.
Kita perlu sedar di sebalik setiap skrin, ada insan yang mempunyai perasaan dan maruah. Media sosial seharusnya menjadi ruang bertukar pandangan secara berhemah, bukan gelanggang mencaci.
Pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) wajar terus memantau kandungan yang berunsur kebencian dan mengambil tindakan sewajarnya.
Pentadbir halaman berita juga memikul tanggungjawab untuk menapis komen melampau agar tidak menjadi api dalam sekam.
Namun, tanggungjawab paling besar terletak pada diri sendiri. Sebelum menekan butang ‘hantar’, tanyalah sama ada kata-kata itu membina atau meruntuhkan. Jagalah adab dalam dunia digital kerana di situlah terpancar nilai kemanusiaan dan keharmonian masyarakat kita. –UTUSAN
PEMERHATI
Kuala Lumpur










