Tangani segera polemik rumah ibadat

Tangani segera polemik rumah ibadat

SEKIRANYA ketegangan berkaitan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) tidak diselesaikan dengan baik, maka generasi seterusnya akan mewarisi pemikiran prejudis perkauman ini tanpa disedari. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANDSKAP sosiopolitik Malaysia sering kali diuji oleh pertembungan antara keperluan birokrasi negara moden dengan keresahan masyarakat majmuk berkaitan ruang fizikal dan simbolik rumah ibadat

Isu perobohan dan penempatan semula struktur keagamaan yang didirikan tanpa kebenaran bukan sekadar pertikaian yang melibatkan pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tetapi juga memberi kesan kepada keretakan dalam fabrik masyarakat majmuk negara. 

Dalam menangani isu Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang dibina secara haram, kita perlu bertindak dengan penuh berhati-hati supaya peraturan negara ditegakkan tanpa mencetuskan penghinaan terhadap mana-mana agama.

Menurut seorang ahli falsafah Jerman, Jürgen Habermas, kita harus mengelakkan tindakan strategik, iaitu tindakan yang bersifat manipulatif atau menggunakan ancaman untuk mencapai matlamat individu atau kumpulan tertentu. 

Sebaliknya, kita perlu beralih kepada tindakan komunikatif yang mengutamakan persefahaman tulen berasaskan situasi pertuturan ideal. Ini merujuk komunikasi yang rasional, terbuka dan jujur tanpa sebarang agenda tersembunyi demi mencapai persefahaman bersama. 

Penting bagi semua pihak untuk mengamalkan tuntutan terhadap kebenaran dan keikhlasan dalam menangani isu ini. Sekiranya melalui data yang telus didapati bilangan kuil Hindu yang sah mencukupi bagi keperluan penduduk di sesuatu kawasan, maka warga Hindu perlu berjiwa besar dan jujur untuk menyatakan tiada lagi keperluan untuk binaan haram yang baharu.

Begitu juga, sekiranya benar terdapat keperluan masyarakat Hindu yang tidak dipenuhi selama ini seperti ketiadaan peruntukan tanah yang sistematik dalam sistem perancangan, inilah masanya untuk memenuhi keperluan tersebut dengan penuh kesefahaman dan kejujuran semua pihak.  

Kejujuran ini amat penting bagi mengelakkan persepsi negatif  terdapat segolongan warga Hindu sedang aktif melakukan aktiviti perolehan tanah secara tidak adil yang akhirnya boleh menjejaskan keharmonian negara ini.

Perkara yang paling kritikal dalam polemik ini adalah bagaimana tindakan kita hari ini secara tidak langsung sedang mendidik generasi masa hadapan. Pendidikan tidak terhad kepada teori di dalam bilik darjah semata-mata tetapi merangkumi apa yang mereka saksikan berlaku dalam masyarakat dan perbincangan di media sosial.

Di sekolah, anak-anak mempelajari nilai-nilai murni seperti keadilan, kejujuran, hormat-menghormati, rasional, kesederhanaan dan lain-lain nilai murni secara teori di dalam subjek seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Inilah saat yang paling sesuai untuk kita didik generasi akan datang dengan menunjukkan contoh sifat-sifat murni ini dalam menangani polemik binaan haram RIBI. 

Dalam mencegah perbuatan yang melanggar undang-undang, kita perlu berhati-hati supaya tidak mengeluarkan kata-kata yang menghina mana-mana kepercayaan.

Jika kita memperlihatkan tindakan yang menghina kaum atau agama lain, tanpa disedari anak-anak kita juga akan belajar dan menganggap sifat ini sebagai satu norma sosial. Sekiranya ketegangan ini dibiarkan berlarutan, generasi seterusnya juga akan mewarisi pemikiran prejudis perkauman ini tanpa kita sedari.

Semua kaum di Malaysia sepatutnya menjadi contoh teladan yang baik dalam menyelesaikan konflik binaan haram ini. Pendekatannya perlulah bijaksana dan halus, umpama menarik rambut dari tepung, biar rambut tertarik, tepung jangan berselerak.

Kematangan kita dalam berdialog secara jujur dan bertindak mengikut neraca keadilan dengan hikmah bukan sahaja mengelakkan pertikaian fizikal, malah merupakan pelaburan pendidikan yang paling berharga bagi masa hadapan Malaysia.

Dengan menunjukkan sifat murni dalam menangani konflik, kita memastikan generasi akan datang membesar dalam sebuah negara yang saling menghormati dan bersatu padu. Inilah pendidikan moral dan akhlak yang terbaik untuk anak-anak kita. -UTUSAN

 

DR. MOHD. MOKHTAR MUHAMAD

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan,

Fakulti Pengajian Pendidikan,

Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN