APABILA menyebut keselamatan negara, pastinya tumpuan sering terarah kepada sempadan, pertahanan ketenteraan dan ancaman luar. Namun, ada satu dimensi keselamatan yang jauh lebih dekat dengan kehidupan rakyat tetapi jarang diberi perhatian serius iaitu keselamatan rantaian bekalan domestik.
Rantaian bekalan inilah yang memastikan makanan sampai ke meja, ubat tiba ke hospital dan bahan asas bergerak tanpa gangguan. Apabila rantaian ini terganggu, kesannya tidak memerlukan serangan ketenteraan untuk dirasai.
Ironinya, keselamatan rantaian bekalan domestik sering dianggap isu korporat semata-mata. Ia dilihat sebagai tanggungjawab syarikat logistik, pengilang atau pengedar, bukan isu kepentingan nasional.
Hakikatnya, kegagalan rantaian bekalan dalaman boleh mencetuskan krisis nasional. Gangguan kecil di peringkat domestik mampu mencetuskan kesan rantaian yang besar kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Data agensi penguatkuasa menunjukkan kes kecurian kargo masih berlaku secara konsisten di laluan logistik utama negara. Kecurian ini bukan sahaja melibatkan barangan bernilai tinggi, malah turut melibatkan makanan, ubat-ubatan dan bahan mentah industri.
Setiap kehilangan kargo bukan sekadar kerugian syarikat. Ia membawa implikasi kepada harga, ketersediaan bekalan dan keyakinan pasaran domestik.
Dalam sektor makanan dan farmaseutikal, risiko ini menjadi lebih kritikal. Gangguan rantaian bekalan makanan boleh menjejaskan keselamatan makanan negara, manakala gangguan bekalan ubat memberi kesan langsung kepada sistem kesihatan awam.
Pengalaman pandemik Covid-19 membuktikan betapa rapuhnya rantaian bekalan domestik jika tidak diurus secara strategik. Sekatan pergerakan, kekurangan pemandu dan gangguan pengedaran mencetuskan kekurangan bekalan tertentu dalam tempoh singkat.
Walaupun negara berjaya mengharungi krisis tersebut, banyak kelemahan struktur rantaian bekalan dalaman masih belum ditangani sepenuhnya. Fokus dasar masih berat kepada import dan sempadan, berbanding pergerakan dalaman.
Dari sudut ekonomi, gangguan rantaian bekalan domestik membawa kerugian besar. Ini kerana akan mengakibatkan kos operasi meningkat, produktiviti terjejas dan akhirnya ditanggung oleh pengguna melalui kenaikan harga.
Lebih membimbangkan, gangguan berterusan boleh menjejaskan daya saing Malaysia sebagai hab perdagangan dan pelaburan serantau. Pelabur bukan sahaja menilai insentif tetapi juga kestabilan logistik domestik.
Keselamatan rantaian bekalan seharusnya dilihat sebagai komponen keselamatan negara. Ia memerlukan kerangka dasar yang jelas, melibatkan kerjasama antara kerajaan, agensi keselamatan dan sektor swasta.
Penggunaan teknologi seperti penjejakan digital, analitik risiko dan pemantauan masa nyata perlu diperkasakan, khususnya bagi barangan kritikal. Namun teknologi sahaja tidak mencukupi tanpa tadbir urus yang tegas dan koordinasi antara agensi.
Malaysia juga perlu mengenal pasti rantaian bekalan kritikal negara, termasuk makanan ruji, ubat penting dan tenaga. Rantaian ini wajar diberi perlindungan, pemantauan dan pelan kesinambungan yang khusus.
Keselamatan negara tidak lagi boleh ditakrifkan secara sempit. Ia bukan hanya tentang senjata, radar atau rondaan sempadan.
Keselamatan sebenar juga bermaksud rak pasar raya tidak kosong, hospital tidak kekurangan ubat dan ekonomi terus berfungsi walaupun berdepan krisis.
Rantaian bekalan domestik ialah benteng senyap negara yang tidak boleh lagi diabaikan.
Jika keselamatan ini gagal, kesannya dirasai oleh setiap rakyat. Apabila rakyat terkesan, keselamatan negara itu sendiri sedang diuji. –UTUSAN
DR. IRWAN IBRAHIM & DR. ABDUL KHABIR RAHMAT
Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans),
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor.










