RPTM 2026–2035: Kompas ilmu laut, pembangunan negara

RPTM kompas pembangunan negara

EKONOMI Biru bukan hanya pertumbuhan tetapi ujian kematangan negara dalam menggabungkan ilmu, nilai dan tanggungjawab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELANCARAN  Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 wajar dilihat sebagai kompas negara dalam mengemudi masa hadapan pembangunan.

Dalam dunia yang sarat dengan ketidaktentuan ekonomi, tekanan ekologi dan persaingan geopolitik menyebabkan negara memerlukan lebih daripada dasar serta program dengan hala tuju  yang jelas dan berprinsip. 

Dengan meletakkan pendidikan tinggi di teras perancangan jangka panjang, RPTM membimbing pembangunan kapasiti nasional daripada pembentukan insan, penguasaan ilmu, pengurusan sumber, hingga kelestarian masa hadapan.

Bagi Malaysia, sebuah negara maritim, kompas ini juga menentukan bagaimana laut dan khazanahnya diurus, dimanfaatkan dan diwariskan melalui agenda Ekonomi Biru negara. 

Penegasan Perdana Menteri semasa pelancaran RPTM menunjukkan pembangunan sebenar tidak bergantung semata-mata pada modal, teknologi atau eksploitasi sumber tetapi pada kualiti insan, ilmu yang dijana dan kebijaksanaan institusi awam. 

Sebelum itu, Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh Menteri Pendidikan Tinggi menekankan universiti awam perlu bergerak di luar kerangka rutin jangka pendek, berfungsi sebagai pemimpin nasional, membina bakat, memperluas akses ilmu dan mempertahankan kelestarian sebagai asas pembangunan.

Ekonomi Biru tidak boleh difahami sebagai agenda sektoral sahaja tetapi sebagai pembangunan berteraskan nilai dan amanah. Ia menuntut keseimbangan antara pertumbuhan, kesejahteraan, dan tanggungjawab ekologi. 

Sumber laut bukan warisan untuk dieksploitasi tetapi amanah yang perlu diurus dengan ilmu dan kebijaksanaan. 

Bagi Malaysia, laut menjadi medan strategik untuk membina daya saing berterusan. Potensi ekonomi lautan hanya dapat direalisasikan jika disokong tadbir urus berwibawa, sains kukuh dan bakat berkeupayaan tinggi. Tanpa itu, pertumbuhan berisiko menghakis sumbernya sendiri.

RPTM menyediakan kerangka yang tepat, dengan 10 lonjakan yang membentuk ekosistem transformasi pendidikan tinggi. 

Keberkesanannya bergantung pada setiap universiti awam yang menterjemah lonjakan secara fokus, berasaskan mandat dan kekuatan institusi. Inilah pendekatan keseluruhan negara dalam pendidikan tinggi dengan setiap institusi memainkan peranan strategik yang saling melengkapi demi kepentingan negara.

Bagi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), fokus utama ialah tiga lonjakan iiatu pembangunan bakat berprestasi tinggi, pendidikan fleksibel dan kemampanan serta kesihatan bumi. 

Pembangunan bakat menekankan kapasiti nasional dalam bidang marin, perikanan, oseanografi dan sains alam sekitar, bukan semata-mata untuk industri tetapi untuk  memperkukuh keupayaan negara mentadbir sumber laut secara strategik dan beretika. 

Pendidikan fleksibel memastikan ilmu relevan bagi industri dan komuniti pesisir. Komitmen terhadap kemampanan dan kesihatan bumi menegaskan universiti sebagai penjaga amanah ilmu untuk generasi akan datang.

RPTM 2026–2035 wajar dijadikan kompas nasional yang membimbing Malaysia mengemudi cabaran masa hadapan. 

Ekonomi Biru bukan hanya pertumbuhan tetapi ujian kematangan negara dalam menggabungkan ilmu, nilai dan tanggungjawab. 

Seperti pelayaran di lautan luas memerlukan arah jelas lebih penting daripada kelajuan. Pendidikan tinggi ialah kompas itu dan universiti awam berperanan sebagai nakhoda ilmu yang memastikan negara sampai ke destinasi yang selamat dan lestari.

Bagi UMT, komitmen terhadap RPTM bermakna memimpin pelayaran ini, demi Malaysia yang berdaya tahan, berilmu dan terpelihara untuk generasi akan datang.-UTUSAN

PROFESOR DR. MOHD. ZAMRI IBRAHIM

Naib Canselor,

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN