SEBAHAGIAN besar masa seorang pemimpin dihabiskan dengan merancang, menimbang dan melakar strategi terbaik demi memastikan kelangsungan serta daya saing organisasi yang dipimpinnya.
Masa hadapan organisasi, cabaran persekitaran dan tuntutan prestasi sentiasa berlegar di fikiran, sehingga tidak menghairankan apabila ada pemimpin yang bekerja tanpa mengenal waktu, seolah-olah organisasi itu menjadi nadi kepada kehidupan mereka sendiri.
Namun, di sebalik keputusan besar dan perancangan strategik yang perlu dibuat, wujud realiti lain yang sering membebankan iaitu pengurus terpaksa mengurus hampir segala-galanya, termasuk perkara kecil yang sepatutnya diselesaikan di peringkat operasi.
Isu kecil yang remeh tetapi berulang inilah yang sering digelar sebagai titik bengik. Walaupun kelihatan tidak signifikan, titik bengik perlahan-lahan menghakis masa, tenaga dan tumpuan pengurus.
Apabila risiko keselamatan dikesan tetapi dibiarkan tanpa tindakan kerana menunggu arahan atasan atau apabila pengurus terpaksa membetulkan kesalahan asas dalam draf surat dan minit mesyuarat, maka jelaslah titik bengik bukan sekadar isu kecil. Ia sebenarnya petunjuk kepada kelemahan sistem, budaya kerja dan kebergantungan berlebihan terhadap kepimpinan atasan.
Fenomena ini lazimnya membawa pengurusan secara mikro, bukan kerana kehendak pemimpin tetapi kegagalan pelaksana memikul tanggungjawab mereka sepenuhnya.
Hakikatnya, pengurusan tertinggi jarang gemar mencampuri urusan remeh. Namun, campur tangan menjadi tidak dapat dielakkan apabila masalah kecil dibiarkan berlarutan, keputusan tertangguh dan tindakan penambahbaikan bergerak terlalu perlahan.
Dalam keadaan ini, pengurusan atasan terpaksa turun tangan demi memastikan kelancaran organisasi. Lama-kelamaan, campur tangan tersebut dilihat sebagai keperluan, bukan lagi pilihan. Namun, keterlibatan yang berlebihan juga membawa implikasi negatif kerana ia boleh menyekat kreativiti, keberanian dan keyakinan pengurusan pertengahan dalam membuat keputusan secara kendiri.
Struktur organisasi sebenarnya memperuntukkan bidang kuasa yang jelas kepada setiap lapisan pengurusan. Pendekatan pemencaran kuasa menjadikan organisasi lebih fleksibel dan responsif, kerana keputusan berkaitan urusan rutin dapat dibuat dengan segera tanpa menunggu kelulusan atasan.
Dalam konteks ini, pengurusan pertengahan dan pihak operasi perlu memikul tanggungjawab penuh terhadap kualiti serta risiko keputusan yang diambil.
Kepercayaan dan autonomi yang diberikan bukan sahaja meningkatkan kecekapan, malah menyuburkan motivasi dan rasa memiliki dalam kalangan warga kerja.
Walaupun pengurusan secara mikro ada manfaat tertentu seperti memberi gambaran jelas tentang realiti lapangan, ia perlu dilaksanakan secara berhemah. Apabila terlalu banyak masa dihabiskan mengurus titik bengik, fokus strategik akan terhakis dan tekanan kerja mula mengambil alih.
Dalam jangka panjang, keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pengurus, malah melumpuhkan pembelajaran dan kebertanggungjawaban pekerja. -UTUSAN
PROFESOR DR. ZAFIR KHAN MOHAMED MAKHBUL
Dekan, Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB),
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)










