DI sebalik barisan kata dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), tersimpan satu keputusan besar yang membentuk asas moral negara.
Frasa ‘berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan’ bukan sekadar hiasan bahasa atau kompromi politik, sebaliknya merupakan teras kepada pembinaan jati diri rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Sejarah penggubalan FPK mendedahkan elemen ketuhanan bukan dimasukkan tanpa perdebatan. Allahyarham Tan Sri Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin pernah menceritakan bagaimana jawatankuasa penggubalan berdepan kebuntuan apabila wujud cadangan untuk menggugurkan istilah ‘Tuhan’ atas alasan kepelbagaian kepercayaan.
Ketegangan itu akhirnya dilerai oleh tokoh pendidik tersohor, mendiang Datuk Dr. Rasammah Bhupalan, yang menegaskan insan yang bertuhan lebih cenderung kepada nilai kemanusiaan sejagat seperti kejujuran, kasih sayang dan integriti.
Hujah itu menjadi asas kukuh kepada FPK seperti yang kita kenali hari ini, iaitu melahirkan insan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani yang berpaksikan kepercayaan kepada Tuhan. Prinsip ini secara jelas meletakkan dimensi spiritual sebagai pengimbang kepada pembangunan akademik dan kemajuan material.
Namun, persoalan yang semakin mendesak ialah sejauh mana roh FPK itu benar-benar dihayati. Hubungan manusia dengan Tuhan seharusnya terpancar dalam hubungan sesama manusia. Walaupun subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral menyediakan asas teori, namun pembentukan akhlak yang sebenar tidak boleh terhenti di bilik darjah atau silibus peperiksaan.
Di sinilah peranan komuniti dan institusi keagamaan menjadi amat penting. Rumah ibadat tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai ruang ritual tetapi sebagai medan pembudayaan nilai murni melalui teladan.
Generasi muda perlu menyaksikan nilai hormat, kesederhanaan dan empati itu hidup dalam tindakan pemimpin masyarakat, bukan sekadar tercetak dalam buku teks.
Hakikatnya, kayu ukur sebenar kejayaan pendidikan nilai dapat dilihat ketika masyarakat berdepan konflik, khususnya isu sensitif melibatkan kaum dan agama. Kegagalan paling ketara terserlah apabila ruang media sosial dibanjiri maki hamun, fitnah dan ujaran kebencian setiap kali perbezaan pandangan muncul. Di saat itulah persoalan tentang keberkesanan pendidikan akhlak wajar diajukan secara jujur.
Masyarakat yang benar-benar menghayati konsep ketuhanan akan memilih kematangan dan rasa hormat walaupun dalam perbezaan. Jika provokasi melampau dan kebencian masih menjadi senjata utama dalam wacana awam, maka kita perlu bermuhasabah sejauh mana nilai ketuhanan itu benar-benar meresap dalam diri.
Lebih daripada itu, penghayatan terhadap Tuhan menuntut keberanian untuk berpihak kepada kebenaran. Sikap mempertahankan salah laku atau pelanggaran undang-undang atas alasan kepentingan kelompok, emosi atau sentimen agama adalah percanggahan yang serius. Agama seharusnya berfungsi sebagai kompas integriti yang menuntut keadilan dan kejujuran tanpa kompromi.
Sudah tiba masanya refleksi nasional dilakukan. Akhlak yang rapuh ketika berdepan perbezaan adalah petanda usaha menghayati dimensi ketuhanan dalam kehidupan seharian masih belum mencapai matlamatnya.
Memperkukuh nilai ini bukan sekadar tuntutan moral tetapi prasyarat penting untuk memastikan masa hadapan Malaysia yang lebih harmoni, matang dan bersatu. –UTUSAN
DR. MOHD. MOKHTAR MUHAMAD
Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan
Fakulti Pengajian Pendidikan,
Universiti Putra Malaysia (UPM)










