Definisikan semula dakwah dalam Islam

Definisikan semula dakwah dalam Islam

AGAMA Islam mengajarkan kita supaya dakwah dengan hikmah, bukan dengan agenda untuk tampil sebagai hero pemecah belah. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKA ataupun tidak, kita perlu menelan ‘pil-pil’ kenyataan yang kelat iaitu mahasiswa sedang menghadapi krisis kefahaman terhadap agama.  

Saya percaya  mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegah insan mengerjakan kemungkaran adalah wajib di sisi agama. Walau bagaimanapun, prinsip amar makruf nahi munkar selalu sahaja diherotkan definisinya.

Satu realiti hitam pekat bak zulmat harus disimbahi cahaya keterangan iaitu, mahasiswa masih belum celik tentang cara dakwah yang benar. 

Lebih memeritkan lagi, atas rasional mahu menegakkan syiar Islam, mereka membangunkan sesi halaqah. Malangnya, halaqah yang sepatutnya mengupas ayat-ayat suci al-Quran dan hadis menjadi lubuk mengupas dosa mahasiswa lain. 

Mungkin ini dianggap ‘jihad’ oleh mereka. Namun, mereka perlu sedar dan buka mata seluas-luasnya tindak-tanduk itu akan lebih mengeruhkan keadaan. Islam ialah agama yang indah. Agama Islam mengajarkan kita supaya dakwah dengan hikmah, bukan dengan agenda untuk tampil sebagai hero pemecah belah.

Apa yang perlu mereka lakukan ialah kaji semula cara dakwah rasulullah. Perbanyaklah baca buku-buku (bukan sahaja buku dakwah, malah pelbagai bidang ilmu).

Sekiranya kita mahu melihat umat Islam kembali gemilang, janganlah kita menyalahgunakan prinsip Amar makruf nahi munkar. Ikhlaskanlah hati, fahami nurani manusia. 

Ya, setiap manusia ada latar belakang berbeza. Cara dakwah kita pun perlu bersesuaian dengan latar zaman dan latar masyarakat. 

Untuk berhenti dari menelan pil kenyataan yang kelat, kita wajarlah reformasi kembali kaedah dakwah. Semoga tiada lagi mahasiswa yang sesat larat dalam belantara ‘kupas dosa orang’. Insya-Allah. – UTUSAN

 

MUHAMMAD AMIR HADI MAHRIZAL

Tamhidi Syariah Dan Undang-Undang

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN