ARKIB Negara Malaysia (ANM), yang digerakkan oleh Kementerian Perpaduan Negara, berperanan sebagai gedung khazanah dan pusat rujukan bagi seluruh lapisan masyarakat.
Ditubuhkan pada 1 Disember 1957 sebagai Pejabat Rekod Awam dan dinamakan semula pada 1963. ANM bertanggungjawab menerima, menyimpan dan memelihara rekod penting negara. Khazanah ini merangkumi dokumen sebelum penjajahan sehingga mencapai kemerdekaan, menjadi sumber primer bagi pengkaji dan pembuat dasar.
Naratif sejarah yang ditinggalkan oleh orientalis Barat disimpan di arkib dan memerlukan semakan serta analisis kritikal. Pendekatan ini membolehkan tafsiran baharu yang relevan dengan konteks tempatan, sekali gus membangkitkan minat dan kecintaan terhadap sejarah pembinaan bangsa Malaysia.
Seiring perkembangan teknologi, pada 23 Januari lalu, ANM melancarkan Koleksi Digital British Colonial Office, membolehkan pengguna mengakses rekod rasmi Pejabat Tanah Jajahan British melalui platform Gale Primary Sources.
Koleksi ini merangkumi sejarah Tanah Melayu, Singapura, Borneo, Brunei, Negeri-Negeri Selat, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu. Langkah ini sejajar dengan visi ANM sebagai ‘Peneraju Pengurusan Rekod dan Pentadbiran Arkib yang Inklusif’, sambil mendekatkan masyarakat kepada sejarah secara interaktif.
Sejarah yang diyakini membentuk identiti nasional, mengekalkan jati diri dan menanam semangat patriotisme. Dokumen arkib bukan sekadar rekod tetapi simbol perpaduan dan jati diri rakyat Malaysia.
Tafsiran baharu yang bersifat tempatan diperlukan supaya sejarah bebas daripada berat sebelah Barat. Sumber lisan juga penting, mencerminkan kepelbagaian etnik dan evolusi peribumi yang membentuk Malaysia.
Masyarakat boleh menyumbang manuskrip dan bahan sejarah untuk memperkaya khazanah ANM, menjadikannya medium penyatuan dan pemupukan kefahaman bersama. Dengan itu, arkib berfungsi sebagai perantara dalam membina perpaduan, kesepaduan sosial dan pengukuhan identiti nasional.
Dalam kepelbagaian masyarakat Malaysia, sejarah negara perlu dimartabatkan dan dijadikan asas nilai bersama, selaras dengan pepatah, ‘biar putih tulang, jangan putih mata.’
Perlu diingat, ANM bukan sekadar penyimpan dokumen tetapi nadi pembangunan sejarah, identiti dan perpaduan bangsa, memastikan generasi akan datang dapat menghayati khazanah dan nilai yang membentuk Malaysia.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHAMED ALI HANIFFA
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia, (UUM).










