AKADEMIA ialah ruang kerja yang unik dan mencabar. Kita bekerja bersama individu dewasa yang berpendidikan tinggi, berpengalaman luas dan mempunyai pandangan tersendiri. Dalam satu mesyuarat, idea boleh bercambah dengan pantas, hujah bersilang dengan matang dan cadangan lahir tanpa diduga.
Namun dalam mesyuarat sama juga, perbezaan pendapat boleh menjadi tegang, perbincangan bertukar senyap atau perbahasan berputar tanpa arah. Di sinilah universiti berbeza daripada organisasi lain iaitu kepakaran tidak semestinya menjamin kesepakatan.
Sebahagian universiti bersifat sangat hierarki. Keputusan turun dari atas, staf melaksana tanpa banyak soal. Kerja mungkin bergerak pantas, mesyuarat menjadi ringkas dan arahan jelas.
Namun dalam diam, ramai bekerja tanpa benar-benar memahami rasional di sebalik sesuatu keputusan. Lama-kelamaan, budaya berfikir bersama digantikan dengan budaya menurut arahan. Adakah itu wajah sebenar budaya akademik?
Sebaliknya, ada universiti yang terlalu egalitarian. Semua perkara mahu dibincangkan, semua suara ingin diraikan. Niatnya baik tetapi keputusan menjadi lambat dan tenaga emosi habis dalam perdebatan panjang. Apabila tiba masa melantik pelaksana atau memikul tanggungjawab, suasana tiba-tiba sepi.
Hakikatnya, dinamika dalam bilik mesyuarat mencerminkan bagaimana universiti memahami peranannya sendiri, sama ada sebagai komuniti pemikir atau sekadar institusi pentadbiran.
Sejak awal ketamadunan, institusi ilmu muncul sebagai ruang untuk manusia bertanya dan mencari kebenaran. Dari pusat keilmuan klasik hingga universiti moden, kemajuan masyarakat sering didahului oleh keberanian akademia untuk berfikir melampaui kebiasaan dan kekuasaan.
Namun dalam landskap kontemporari, satu nilai asas semakin terhakis secara senyap iaitu keberanian intelektual.
Universiti semakin diukur melalui penarafan, indikator prestasi dan pematuhan prosedur. Semua itu penting tetapi ia hanyalah alat, bukan tujuan utama kewujudan universiti.
Apabila peranan sarjana disempitkan kepada memenuhi borang dan sasaran, makna akademia menjadi kabur.
Akademia yang sejahtera ialah yang berfungsi secara holistik dengan memberi ruang kepada pencarian ilmu yang bebas dan jujur, mengiktiraf perbezaan pandangan yang matang serta memupuk perdebatan berasaskan hujah dan bukti, bukan hierarki atau kedudukan.
Apabila kebebasan ini disempitkan oleh lapisan peraturan yang tidak memahami sifat ilmu menyebabkan universiti menjadi lesu dan defensif. Ia semakin terpisah daripada masyarakat dan gagal menjadi ruang pemikiran yang hidup.
Tidak hairan jika ada ahli akademik memilih untuk berdiam diri demi mengelakkan konfrontasi. Namun dalam suasana yang kelihatan buntu inilah, persoalan tentang bagaimana perubahan boleh dimulakan menjadi semakin penting.
Perubahan jarang lahir daripada struktur semata-mata. Ia bermula dengan naratif iaitu cara kita mentafsir makna universiti dan peranan kita di dalamnya.
Tanpa membetulkan cara kita memahami makna universiti, sebarang reformasi struktur mudah diserap kembali oleh budaya lama.
Perjuangan ini tidak menjanjikan kemenangan segera. Nilainya bukan hanya pada hasil tetapi keberanian untuk memulakan langkah dengan niat yang jujur dan bertanggungjawab. Jika mereka yang memahami sistem memilih untuk berdiam diri, maka budaya takut dan kepatuhan akan diwariskan sebagai norma.
Akhirnya, perjuangan akademia ialah usaha kolektif. Ia melibatkan ahli akademik, pelajar, staf sokongan dan masyarakat.
Universiti yang benar-benar berfungsi akan melahirkan pelajar yang matang dan berdaya fikir, membina hubungan berasaskan dialog dan saling menghormati, serta kekal terhubung dengan realiti sosial. Kepelbagaian pandangan bukan ancaman tetapi sumber kekuatan.
Perubahan mungkin perlahan dan tidak popular. Namun ketamadunan tidak pernah dibina dalam garis lurus yang singkat. Ia tumbuh melalui usaha kecil yang konsisten, jujur dan berprinsip.
Persoalan paling penting bukanlah sama ada kita pasti berjaya, tetapi sama ada kita sanggup melangkah ketika lebih mudah untuk terus berdiam diri. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD. UZAIR RUSLI
Presiden Persatuan Kebajikan Staf Akademik (PASAK),
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)










