Adakah pelaburan unit amanah patuh prinsip syariah?

Adakah pelaburan unit amanah patuh prinsip syariah?

PRINSIP utama dalam pelaburan Islam ialah larangan riba, iaitu sebarang bentuk pertambahan atau faedah yang diperoleh secara tidak adil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM konteks kewangan Islam, setiap bentuk pelaburan mestilah mematuhi prinsip syariah agar terhindar daripada unsur yang dilarang seperti riba, gharar dan maysir. Seiring dengan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pelaburan patuh syariah, unit amanah patuh syariah muncul sebagai instrumen pelaburan yang semakin mendapat perhatian.

Prinsip utama dalam pelaburan Islam ialah larangan riba, iaitu sebarang bentuk pertambahan atau faedah yang diperoleh secara tidak adil. Dalam pelaburan unit amanah patuh syariah, dana tidak dilaburkan dalam instrumen berasaskan faedah seperti bon konvensional. 

Sebaliknya, pelaburan dibuat dalam instrumen patuh syariah seperti sukuk dan saham syarikat yang memenuhi kriteria syariah. Perkara ini bertujuan memastikan pelaburan yang dilakukan selari dengan prinsip Islam dan tidak melibatkan unsur penindasan.

Selain itu, pelaburan Islam juga menekankan penghindaran unsur gharar dan maysir. Gharar merujuk kepada ketidakpastian yang berlebihan dalam sesuatu kontrak, manakala maysir pula merujuk kepada unsur perjudian. 

Dalam konteks unit amanah patuh syariah, pengurus dana perlu memastikan struktur pelaburan adalah jelas, telus dan mudah difahami oleh pelabur. Pelaburan tidak dibuat secara spekulatif, sebaliknya berdasarkan analisis yang kukuh dan maklumat yang sah.

Seterusnya, dana unit amanah patuh syariah hanya boleh dilaburkan dalam aktiviti dan sektor yang dibenarkan oleh Islam. Pelaburan dalam syarikat yang terlibat dengan aktiviti haram seperti arak, perjudian, riba dan hiburan melampau adalah dilarang. 

Di Malaysia, pemilihan dan penapisan syariah bagi unit amanah dilakukan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan pematuhan syariah sentiasa terjaga.

Sebagai contoh, Amanah Saham Bumiputera (ASB) merupakan antara unit amanah yang popular dalam kalangan masyarakat. ASB ini diurus oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan ditawarkan khusus kepada golongan bumiputera sebagai instrumen pelaburan yang selamat dan stabil. 

Tujuan utama penubuhan ASB adalah untuk menggalakkan budaya menabung dan pelaburan dalam kalangan bumiputera.

Di samping ASB, terdapat pelbagai lagi unit amanah patuh syariah seperti Public Islamic Equity Fund, CIMB Islamic Dali Economic Growth Fund, RHB Smart Income Fund, dan banyak lagi. Namun begitu, pelabur mestilah bijak dalam memilih unit amanah kerana setiap dana mempunyai tahap risiko, harga per unit dan strategi pengurusan yang berbeza. Pemilihan dana yang tepat dan mempunyai rekod prestasi baik amat penting bagi memastikan pulangan pelaburan berkesan. 

Kesimpulannya, pelaburan unit amanah patuh syariah merupakan pelaburan yang selamat dan beretika kerana mematuhi prinsip-prinsip Islam seperti larangan riba, gharar dan maysir. Melalui pengurusan dana oleh pihak profesional, unit amanah membantu pelabur mengurus kewangan secara lebih sistematik tanpa memerlukan kepakaran mendalam dalam pasaran kewangan. 

Selain itu, kemudahan akses, modal permulaan yang rendah serta potensi pulangan melalui pengagihan dividen menjadikan unit amanah sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat. 

Pemilihan dana yang tepat serta pemantauan prestasi secara berkala amat penting bagi memastikan pelaburan unit amanah memberikan pulangan yang stabil dan selari dengan kehendak syariah. Oleh itu, unit amanah patuh syariah terus menjadi pilihan relevan bagi pelabur Muslim di Malaysia. -UTUSAN

 

FARAH M. FAUZI & PROFESOR DR. NURADLI RIDZWAN SHAH MOHD. DALI

Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN