Banteras hubungan songsang seawal mungkin, sebelum dinormalisasi

Banteras hubungan songsang seawal mungkin, sebelum dinormalisasi

FENOMENA hubungan sejenis perlu dibendung secara menyeluruh melalui pendekatan perundangan, keagamaan dan sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUBUNGAN songsang antara pasangan sesama jenis dijelaskan secara tegas dalam al-Quran menerusi kisah kaum Nabi Lut AS, yang dihukum akibat perbuatan luar tabi‘i.

Peristiwa ini menjadi peringatan jelas tentang larangan terhadap amalan yang bercanggah dengan fitrah penciptaan manusia dan prinsip moral Islam. Hukuman yang digambarkan menunjukkan keseriusan implikasi hubungan songsang terhadap kesejahteraan individu dan masyarakat.

Dari sudut ilmu sosial, homoseksual merujuk kecenderungan emosi dan seksual terhadap individu sesama jantina. Namun, hubungan sesama jenis ini dilihat menyimpang daripada norma kemanusiaan yang sejahtera, bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah ditolak oleh kebanyakan agama utama lain yang menekankan hubungan heteroseksual sebagai asas pembinaan keluarga dan kesinambungan generasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Isu ini kembali menjadi perhatian apabila pendedahan kes penangkapan melibatkan ratusan individu dewasa disyaki terlibat dalam aktiviti songsang di pusat urut dan spa. Perkembangan ini membuka mata masyarakat yang amalan sedemikian tidak wajar dinormalisasikan.

Dari segi perundangan, hubungan intim sesama jenis sukar disabitkan kesalahan kerana kekangan bukti dan ketiadaan pengakuan, sekali gus menyukarkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

Beberapa faktor dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan kecenderungan ini. Antaranya pengaruh media, termasuk bahan lucah serta filem dan drama asing yang memaparkan hubungan sesama jenis sebagai norma. Selain itu, konflik keluarga seperti keganasan domestik, penderaan emosi dan fizikal, serta trauma hubungan turut mendorong sebahagian individu menjauhi hubungan berlainan jantina.

Kegagalan dalam perkahwinan atau percintaan juga boleh membawa kepada pencarian sokongan emosi dalam hubungan sejenis.

Fenomena ini turut menular dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti, yang menganggap hubungan sejenis lebih ‘selamat’ daripada tindakan disiplin. Persepsi terhadap pasangan sejenis sebagai lebih memahami dan penyayang turut mempengaruhi penerimaan sosial. Kelemahan pemahaman agama dan salah tanggapan tentang fitrah pula memburukkan keadaan.

Kesimpulannya, fenomena hubungan sejenis perlu dibendung secara menyeluruh melalui pendekatan perundangan, keagamaan dan sosial.

Peranan komuniti, institusi pendidikan dan tempat kerja amat penting untuk pengesanan awal.

Pada masa sama, pengukuhan pendidikan agama berautoriti wajar dijadikan teras bagi membentuk tingkah laku selari dengan syariat, fitrah dan kesejahteraan sosial.-UTUSAN

DR. ARIYANTI MUSTAPHA
Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN