TAHNIAH diucapkan kepada pengundi Pilihan Raya Negeri Sabah. Jumlah kehadiran pengundi yang tidak seperti yang diharapkan, keadaan cuaca yang tidak menentu serta kepayahan yang terpaksa dilalui sesetengah pengundi setiap kali proses pilihan raya memerlukan perhatian serius dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kita seharusnya memodenkan sistem pengundian dengan melaksanakan proses undian secara dalam talian ataupun pengundian elektronik. Pihak kerajaan dan SPR perlu mengambil contoh dari Estonia. Mereka melaksanakan proses pengundian secara dalam talian.
Rakyat Estonia mula mengundi dalam pilihan raya melalui telefon bimbit selepas Parlimen meluluskan rang undang–undang (RUU) berkaitan isu berkenaan pada Mei 2024.
Menurut RUU itu, pengundian elektronik bukan sahaja boleh dilakukan menerusi komputer tetapi juga melalui aplikasi khas untuk sistem operasi biasa pada peranti mudah alih.
Pada 2005, Estonia menjadi negara pertama di Eropah yang membenarkan pengundian dalam talian dalam pilihan raya politik. Lebih separuh daripada semua undian dibuat secara digital dalam pilihan raya Parlimen pada Mac 2023.
Proses pengundian secara elektronik dilihat mudah dan dapat meningkatkan lagi penglibatan lebih ramai pengundi untuk menunaikan tanggungjawab. Dengan kewujudan pelbagai jenis teknologi moden pada masa kini, tidak menjadi masalah besar untuk negara kita melaksanakan proses mengundi secara elektronik.
Ketika ini pihak kerajaan sedang giat menjalankan kempen untuk mengalakkan rakyat melakukan proses transaksi kewangan dan membuat passport secara dalam talian serta melaksanakan MyDigital ID. Kita juga harus mengambil langkah untuk melaksanakan proses mengundi secara dalam talian.
Sekiranya tidak boleh dilaksanakan sepenuhnya, sekurang–kurangnya boleh dilakukan secara hibrid dengan pengundi diberi pilihan sama ada untuk mengundi secara semuka ataupun dalam talian.
Kerajaan dan SPR boleh melakukan kajian mendalam terhadap cadangan ini. Pelbagai jenis undang–undang yang berkaitan dengan proses pilihan raya perlu dikaji semula dan dipinda sekiranya ingin melaksanakan cadangan proses undian secara dalam talian atau secara hybrid. Ini termasuklah Perlembagaan Persekutuan.
Apa–apa pun, Malaysia tidak boleh lagi ketinggalan dalam perkara ini. Dunia sudah pun bergerak maju dengan kewujudan pelbagai jenis kemudahan digital. Proses pilihan raya negara perlu dimodenkan selaras dengan kemajuan dan kemudahan digital pada masa kini. –UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










