Kontroversi FAM jadi pelajaran untuk bolasepak Malaysia

Kontroversi FAM jadi pelajaran untuk bola sepak Malaysia

JIKA Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) didapati bersalah boleh berpotensi melumpuhkan bola sepak negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA  bola sepak Malaysia digegarkan apabila  Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendenda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menggantung tujuh pemain warisan selama 12 bulan kerana dokumen palsu yang dikemukakan.

Nama baik FAM tercemar, meninggalkan sejarah suram bagi persatuan yang pernah disegani.

Malaysia pernah melakar sejarah, layak ke Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980, dengan pemain legenda seperti Wong Kam Fok, Abdul Ghani Minhat, Soh Chin Aun, Syed Ahmad, Mokhtar Dahari dan ramai lagi. Kini, nama-nama besar itu digantikan projek pemain warisan yang dilakukan tergesa-gesa untuk kejohanan Kelayakan Piala Asia 2027. Sikap tamak dan angkuh, serta dorongan individu tertentu untuk menguasai bola sepak menjejaskan maruah FAM dan negara di mata dunia.

Projek pemain warisan menyebabkan hampir keseluruhan kesebelasan terdiri daripada pemain bukan tempatan. Pemain berbakat Malaysia duduk di bangku simpanan, hanya dimasukkan saat akhir perlawanan, menjejaskan perkembangan mereka. Akibatnya, generasi tempatan terpaksa menyaksikan peluang mereka terbatas, prestasi merosot dan semangat kebangsaan dalam bola sepak semakin pudar.

Bagi saya, FAM seharusnya menumpukan kepada pembangunan pemain tempatan dan kelab, bukannya menjadi ‘kambing hitam’. Projek cepat dan bersifat ‘mi segera’ tidak membawa kejayaan berterusan. Intervensi luar dan kepentingan peribadi hanya menjerumuskan bola sepak Malaysia ke arah kegagalan jangka panjang.

Namun, hikmah daripada kontroversi ini jelas, penggantungan tujuh pemain warisan memberi ruang kepada pemain tempatan seperti Faisal Halim, Ubaidullah, Shahrul Saad dan Afiq Fazail untuk menyerlah. Mereka menunjukkan prestasi cemerlang apabila diberi peluang sebenar.

Sekarang seluruh rakyat menanti keputusan FIFA dengan debaran. Jika FAM didapati bersalah, ia berpotensi melumpuhkan bola sepak negara, merosakkan periuk nasi pemain dan menghakis sukan penyatu kaum ini.

 

CIKGU JAMAL
Kuala Rompin,

Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN