Curacao pulau kecil berjiwa besar

Curacao pulau kecil berjiwa besar

FAKTOR terbesar yang membantu kejayaan pasukan Advocaat ialah penyertaan pemain diaspora Belanda yang datang daripada akademi bola sepak terkemuka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN keluasan dan jumlah penduduk yang hampir menyamai keluasan dan jumlah penduduk Alor Setar, Kedah, Curacao mempunyai sebab untuk tersenyum lebar dan berbangga dengan pencapaian terbaiknya pada tahun ini di pentas bola sepak antarabangsa apabila berjaya melangkah ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai tahun hadapan.

Paling menarik ialah cara negara ini melayakkan diri iaitu tanpa perlu terlibat dalam pusingan play-off sebaliknya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam pusingan pertama dan kedua Zon CONCACAF (Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean) yang membolehkan ia menduduki tempat teratas dalam kumpulannya bagi kedua-dua pusingan.

Dick Advocaat yang dibantu oleh Dean Gorre akan sentiasa dikenang sebagai era gemilang Curacao apabila mencatatkan keputusan yang sangat memberangsangkan dalam setiap perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia.

Setelah mengambil alih tugas pada Januari 2024, dia merekrut dan menyepadukan ramai pemain keturunan Belanda dari warisan Curacao yang membawa kepada permainan taktikal peringkat tinggi dari akademi Eropah.

Kerjayanya yang dihias sebagai pengurus pasukan kebangsaan seperti Belanda dan beberapa kelab ternama Eropah turut menawarkan pemain Curacao pengalaman kejurulatihan peringkat tinggi yang belum pernah mereka terima sebelum ini.

Apa yang dapat dibentuknya bagi satu pasukan ialah corak berpasukan yang matang dan setanding dengan pasukan Eropah, satu fenomena yang jarang-jarang berlaku di Caribbean.

Faktor terbesar yang membantu kejayaan pasukan Advocaat ialah penyertaan pemain diaspora Belanda yang datang melalui akademi-akademi bola sepak terkemuka seperti Ajax, PSV, Feyenoord, atau kelab Eredivisie yang lain yang mempunyai warisan Curacao.

Inilah kunci kepada kualiti permainan bola sepak Eropah yang dikuasakan oleh identiti Caribbean.

Kesemuanya bermula apabila Presiden Persekutuan Bola Sepak Curacao, Gilbert Martina, memberi lampu hijau kepada Advocaat untuk mendapatkan pemain berbakat dari diaspora Belanda.

Selain kehadiran pemain diaspora, Advocaat memperkenalkan rejim latihan Eropah yang profesional dan berdisiplin disertai dengan pelan tindakan taktikal, yang merupakan langkah penting untuk pasukan mara ke peringkat lebih tinggi.

Beliau juga sangat mengambil berat tentang masalah kewangan dan logistik persekutuan bagi memastikan pemain dibayar dan diuruskan dengan betul, yang menurutnya menjadi asas profesional yang sangat penting untuk mencapai kejayaan. – UTUSAN

DR. KHAIRUL NIZAM ZAINAL BADRI
Puchong, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×