AI memperkasa pelajar atau jadikan mereka pasif?

AI memperkasa pelajar atau jadikan mereka pasif?

KECERDASAN buatan (AI) bukan pengganti tetapi cermin kepada akal dan nurani manusia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA pendidikan kini bergerak pantas. Dua dekad lalu, guru maya dan sistem pembelajaran pintar hanya wujud dalam filem.

Hari ini, pelajar menyiapkan tugasan dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) yang mampu menjana jawapan, membetulkan logik, malah memahami pelbagai bahasa dalam beberapa saat. Namun, di sebalik kemudahan ini timbul persoalan penting, adakah pendidikan sedang memperkasa manusia untuk berfikir atau menjadikan mereka pasif kepada mesin?

Selepas pandemik Covid-19, penggunaan teknologi pembelajaran meningkat lebih 250 peratus menurut Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) (2023), dengan lebih 65 peratus sekolah menengah di Malaysia menggunakan sekurang-kurangnya satu aplikasi berasaskan AI.

Walaupun transformasi ini jelas, persoalannya ialah sejauh mana penggunaanya seimbang dan inklusif?

Bank Dunia melaporkan 43 peratus pelajar di negara membangun masih menghadapi masalah capaian internet, manakala di Malaysia, capaian di Sabah dan Sarawak hanya 58 peratus berbanding lebih 90 peratus di Lembah Klang. AI tanpa akses yang adil bukan penyelesaian tetapi berpotensi memperkukuh jurang pendidikan.

Lebih serius, bias algoritma menimbulkan risiko epistemik. Kajian Stanford menunjukkan prestasi AI lebih baik bagi bahasa Inggeris formal tetapi kurang tepat untuk bahasa campuran atau dialek.

Dalam konteks Malaysia yang dwibahasa, ini memberi impak terhadap penilaian pelajar dari latar linguistik dan sosiobudaya berbeza. AI boleh menjawab tetapi tidak memahami konteks, nilai atau intuisi manusia. Sekiranya pelajar terlalu bergantung, proses pemikiran kritis boleh terhakis.

Menurut Teori Pembelajaran Sosial Bandura, manusia belajar melalui pemerhatian dan interaksi. AI boleh menjadi alat bantu tetapi guru tetap model utama dalam membimbing nilai, empati dan tafsiran kritis. Literasi AI wajar dimasukkan dalam latihan guru, termasuk etika penggunaan data, bias algoritma dan refleksi nilai kemanusiaan.

Akhirnya, pendidikan bermakna apabila mampu menyoal, menilai dan menggunakan jawapan AI dengan kebijaksanaan dan kesedaran moral.

AI bukan pengganti tetapi cermin kepada akal dan nurani manusia. Kejayaan sebenar pendidikan tercapai apabila pelajar mampu mengawal teknologi, bukan tunduk kepadanya.-UTUSAN

NOR HAZIRAH MOHD. HUSSIN & NURUL NISHA MOHD. SHAH
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Cawangan Negeri Sembilan
Kampus Rembau

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×