SETIAP kali tibanya cuti panjang, ibu kota mula lengang apabila ramai mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman. Suasana ini bukan sahaja membawa kegembiraan untuk bertemu keluarga tercinta tetapi juga menghidupkan kembali nostalgia perjalanan pulang yang penuh warna.
Pelbagai cara digunakan untuk kembali ke desa. Bagi golongan muda, perjalanan menaiki kereta api sering menjadi pilihan. Ini kerana pengangkutan ini bukan sekadar praktikal tetapi juga penuh pengalaman tersendiri.
Namun, dalam keseronokan itu, jangan lupa untuk sentiasa berhati-hati. Elakkan berebut tempat duduk atau tolak-menolak di stesen kerana sedikit kecuaian boleh membawa padah.
Bagi mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak kecil pula, penggunaan kenderaan sendiri sering menjadi pilihan utama. Justeru, segala persiapan perlu dibuat lebih awal. Pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat untuk membawa penumpang serta barang-barang. Sediakan juga sedikit makanan ringan bagi mengelakkan keperluan berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) yang lazimnya sesak ketika musim perayaan dan cuti sekolah.
Pemandu pula hendaklah memastikan diri sentiasa cergas dan segar sepanjang perjalanan. Jika terasa mengantuk, berhentilah seketika dan berehat sebelum meneruskan pemanduan. Keselamatan diri dan keluarga jauh lebih penting daripada mengejar masa.
Laporan menunjukkan aliran trafik di beberapa lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) dan laluan ke Pantai Timur semakin meningkat dan bergerak perlahan sejak beberapa hari lalu. Oleh itu, semua pengguna jalan raya diseru agar bersabar, mematuhi peraturan dan mengamalkan sikap bertimbang rasa di jalan raya.
Apa jua cara perjalanan yang dipilih, ingatlah bahawa kepulangan yang dinanti tidak bermakna jika keselamatan diabaikan. Semoga semua yang pulang ke kampung tiba dengan selamat dan kembali bekerja dengan hati yang tenang setelah percutian berakhir.-UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










