Perlukah TH dijenamakan semula?

Perlukah TH dijenamakan semula?

JENAMA Tabung Haji sudah pun kukuh, berakar dalam warisan sejarah, nilai Islam dan kepercayaan jutaan umat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IZINKAN saya tegaskan, ini bukan soal kaum atau perkauman. Ini soal prinsip, sensitiviti agama dan kefahaman terhadap syiar Islam yang menjadi asas penubuhan Tabung Haji sejak 1963.

Penjenamaan semula bukan seperti membeli tong sampah atau menyewa khemah, ia bukan proses teknikal. Ia adalah soal naratif, simbol, maruah dan persepsi umat Islam terhadap sebuah institusi suci.

Penjenamaan bukan sekadar logo atau kempen pemasaran tetapi seni komunikasi yang membina naratif, memahami jiwa khalayak dan mengukuhkan nilai jangka panjang.

Saya menulis bukan untuk menyebelahi mana-mana parti politik, apatah lagi mahu menjadikan isu ini sebagai pertikaian perkauman atau agama. Tetapi realitinya, Tabung Haji bukan sekadar sebuah entiti korporat biasa; ia adalah simbol amanah umat, berkait langsung dengan ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima.

Jenama ini sudah pun kukuh, berakar dalam warisan sejarah, nilai Islam dan kepercayaan jutaan umat. Ia dihormati bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di persada dunia Islam sebagai lambang kejayaan pengurusan haji.

Apa yang diperlukan ialah penyegaran ‘suara’ melalui kempen komunikasi strategik yang tulus dan menyentuh jiwa bukan penjenamaan semula. Dengan naratif inspirasi, aplikasi mesra pengguna, insentif belia dan kakitangan sebagai duta jenama, transformasi sebenar boleh dicapai tanpa menukar identiti, sambil menjimatkan kos serta kekal selaras aspirasi ummah hari ini.

Kita tidak perlukan penjenamaan semula yang menukar wajah tetapi menghilangkan roh. Kita tidak perlukan kempen yang kononnya moden tetapi melukai hati pendeposit yang telah berjuang menabung sejak muda demi menjejak kaki ke Baitullah. Dan kita tidak perlukan agensi yang hebat dari segi teknikal tetapi kosong dari segi jiwa Islam.

Tabung Haji ialah lambang keberkatan. Ia bukan sekadar institusi simpanan. Ia adalah simbol penyatuan umat, jalan ke Tanah Suci, dan warisan yang tidak boleh digadaikan hanya kerana kita mahu ‘nampak baharu’.

Akhir kalam, kalau TH sendiri sudah tidak yakin dengan agensi Muslim yang memahami roh Islam, bagaimana pula umat Islam boleh terus yakin dengan TH?

Amanah tidak boleh dibungkus dengan slogan. Ia mesti dijunjung dengan hikmah.-UTUSAN

TOQQI
Aktivis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×