Khidmat masyarakat jadi pengisian Maulidur Rasul sukarelawan siswa

Khidmat masyarakat jadi pengisian Maulidur Rasul sukarelawan siswa

94 sukarelawan siswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara, membanting tenaga membantu komuniti kampung dalam kegiatan khidmat masyarakat sempena sambutan Maulidur Rasul.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP  individu atau kumpulan masyarakat mempunyai cara tersendiri sendiri meraikan sesuatu hari kebesaran.

Begitulah dengan 94 sukarelawan siswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad yang jatuh pada 12 Rabiulawal Hijrah.  

Ini kerana, ketika umat Islam lain menyertai perarakan dan terbabit dalam pelbagai acara di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah bagi memperingati Maulidur Rasul, sukarelawan siswa berkenaan membanting tenaga membantu komuniti kampung daalam kegiatan khidmat masyarakat.  

Memuatkan artikel berkaitan…

Selama dua minggu mulai semalam sehingga 17 September ini, sukarelawan yang mewakili Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Perpaduan Negara (KPN) itu berada di beberapa buah kampung di Perak dan Pahang. Kebetulan, hari pertama mereka mula menjalankan khidmat masyarakat, jatuh pada hari Maulidul Rasul.

Di Perak, sukarelawan siswa daripada pelbagai kaum itu akan membantu penduduk kampung di Kampung Chui Chak, Langkap, Pos Legap, Sungai Siput, Kampung Selarong, Pengkalan Hulu dan Kampung Jawa Air Kuning, Tapah.  Di Pahang, mereka berada di Kampung Tanah Rom, Jerantut dan Kampung Tanjung Gahai, Sungai Koyan, Pahang.

Selama dua minggu ini, sularelawan akan tinggal bersama komuniti tempatan untuk menimba pengalaman dan menyelami budaya,  adat,  bahasa dan dialek serta ‘loghat’ masyarakat di Perak dan Pahang. 

Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah pembinaan Laman Tradisi Orang Asli di Sungai Siput dan membaikpulih makmal sains dan pusat sumber di Sungai Koyan. Selain itu, sukarelawan siswa akan melaksanakan projek keceriaan sekolah serta menganjurkan program berteraskan pendidikan, kesihatan, kesedaran digital dan pembangunan keusahawanan.

Sukarelawan siswa juga akan melaksanakan inisiatif ‘Ini Warisan Kita’, selari dengan pengisian utama KPN bagi menyuntik semangat cintakan tanah air melalui penghayatan kepada kepelbagaian khazanah yang diwarisi turun-temurun. Sukarelawan siswa akan menyediakan dokumentasi berkenaan cara hidup, makanan, bahasa, budaya, tarian dan pakaian tradisional etnik-etnik terlibat di dalam pelaksanaan misi.

Sukarelawan berkenaan akan melibatkan diri dengan  pelbagai komuniti antaranya di kampung Melayu, penempatan kaum Cina dan India selain  menyantuni kaum Orang Asli dan komuniti Siam.

YSS dalam satu kenyataan menjelaskan misi itu  memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti dan pengukuhan perpaduan dengan penglibatan sukarelawan. 

Setiap aktiviti berlandaskan teras kesukarelawanan YSS dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG), termasuk aspek pendidikan, kesejahteraan komuniti danpemeliharaan alam sekitar. 

Sebelum ini, mulai 1 hingga 3 September lalu, semua sukarelawan siswa berkenaan berkumpul di Universiti Islam Selangor (UIS) bagi sesi persediaan sebelum masuk ke kampung-kampung itu.

Sejak ditubuhkan pada 2012,  YSS melaksanakan 80 misi di dalam dan luar negara yang memberi manfaat secara langsung kepada lebih 1.7 juta orang.-UTUSAN

 

YAYASAN SUKARELAWAN SISWA (YSS)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini