Memimpin dengan jiwa merdeka, bukan sekadar populariti

Memimpin dengan jiwa merdeka, bukan sekadar populariti

SEJARAH kemerdekaan sendiri memberikan pengajaran yang amat bernilai tentang peranan kepimpinan yang berasaskan kredibiliti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP tahun Malaysia meraikan sambutan bulan kemerdekaan dengan penuh kemeriahan dan semangat patriotik. Tanggal 31 Ogos 1957 menandakan detik bersejarah apabila negara mencapai kemerdekaan sepenuhnya daripada cengkaman penjajah. Peristiwa ini adalah hasil pengorbanan puluhan nyawa, tenaga, masa dan wang yang tidak ternilai harganya.

Hari ini, kepimpinan dinilai dari populariti dan kredibiliti. Populariti mudah diukur dan cepat terlihat terutama dalam era digital yang mana media sosial dan platform komunikasi menjadi medan utama interaksi. Seorang pemimpin popular biasanya memiliki daya tarikan yang kuat dan mampu meraih sokongan luas dalam masa singkat. Namun, populariti bersifat dinamik dan berubah mengikut masa serta keadaan. Ia juga sangat dipengaruhi naratif dibentuk media dan sentimen masyarakat yang boleh berubah-ubah.

Sebaliknya, kredibiliti membawa makna yang lebih mendalam dan berterusan. Ia menggambarkan tahap kepercayaan masyarakat terhadap seorang pemimpin, berasaskan integriti, rekod prestasi, ketelusan dan konsistensi dalam tindakan. Kredibiliti bukan sesuatu yang mudah dibina kerana ia memerlukan kecekalan, masa dan usaha yang berterusan. Namun, ia menjadi asas kukuh bagi kepimpinan yang berkesan dan lestari dalam jangka panjang.

Sejarah kemerdekaan memberikan pengajaran yang amat bernilai tentang peranan kepimpinan yang berasaskan kredibiliti. Pemimpin awal negara tidak langsung bergantung kepada populariti. Mereka memfokuskan tanggungjawab dan komitmen terhadap pembinaan negara. Mereka memimpin dan membangunkan negara dengan prinsip serta integriti yang utuh. Semangat jiwa merdeka mereka tidak hanya dipamerkan melalui kata-kata tetapi juga tindakan berani berlandaskan nilai dan wawasan jauh ke hadapan. Ini adalah kepimpinan yang mengangkat martabat kemerdekaan sebagai satu amanah dan bukan sekadar pencapaian sejarah.

Kepimpinan hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang semakin kompleks. Globalisasi, kemajuan teknologi dan tekanan sosial mengubah cara masyarakat menilai pemimpin. Populariti mudah diperoleh melalui kempen digital yang efektif, mesej menarik serta retorik yang tersusun.

Seorang pemimpin harus menyedari masyarakat dan negara adalah amanah yang perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab. Ini lebih penting apabila pemilihan pemimpin dilakukan melalui proses demokrasi yang mencerminkan suara rakyat.

Kepimpinan hanya berasaskan populariti tanpa sokongan nilai dan integriti yang kukuh akan menyebabkan kelemahan dalam membuat keputusan penting, terdedah kepada manipulasi dan akhirnya merugikan rakyat serta negara. Sebaliknya, pemimpin berasaskan kredibiliti mempunyai kelebihan untuk membuat keputusan yang sukar dan tidak popular tetapi berkesan untuk jangka masa panjang. Mereka memimpin dengan visi yang jelas dan mempunyai keberanian moral untuk menegakkan prinsip walaupun menghadapi tekanan.

Hari ini kita perlu ingat kemerdekaan sebenar bukan sahaja bebas daripada penjajahan kuasa asing tetapi juga bebas daripada budaya kepimpinan yang lemah, tidak bertanggungjawab dan berorientasikan populariti semata-mata.

Kepimpinan yang berjiwa merdeka adalah kepimpinan yang berani memikul tanggungjawab terhadap masa hadapan bangsa. Ia tidak gentar menghadapi kritikan dan tidak goyah diserang dengan kutukan kerana berdiri teguh atas dasar ilmu pengetahuan dan nilai moral yang kukuh. Kepimpinan seperti ini mampu merapatkan jurang kepelbagaian masyarakat dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan, sekali gus membina institusi yang mantap serta menjamin pembangunan negara yang stabil dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat.

Semangat patriotik juga perlu diterjemahkan melalui kepimpinan inklusif dan berdaya tahan. Pemimpin yang menghargai kemerdekaan memimpin tanpa mengira latar belakang etnik, agama atau status sosial. Rasa empati terhadap pengorbanan pemimpin terdahulu menjadi pendorong bagi pemimpin masa kini agar kemerdekaan yang diwarisi menjadi milik bersama. Ia juga menjadi sumber kekuatan negara dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Bulan kemerdekaan mengajak kita merenung kembali nilai dan harapan yang diwariskan oleh generasi terdahulu. Memimpin dengan jiwa merdeka bukan sekadar slogan atau retorik semata tetapi realiti yang mesti diterjemah dalam kehidupan harian melalui pemilihan pemimpin berintegriti, berwawasan dan berprinsip. Kepimpinan sebegini akan memastikan kemerdekaan yang dicapai bukan hanya menjadi kenangan sejarah tetapi terus terpelihara dan berkembang secara berdaya tahan.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. KHAIRUNESA ISA
Pensyarah Kanan (Profesor Madya) Jabatan Sains Sosial Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×